'Pulanglah Anis Zulaikha dah nak raya', remaja bawah umur lari dari rumah lepas ibu tak bagi guna fon pintar


  • 112
  • Selasa, 09 Apr 2024

Polis menerima laporan kehilangan Anis Zulaikha pukul 9.44 pagi Ahad.

SEORANG gadis berusia 16 tahun dilaporkan masih hilang menjelang Aidilfitri pada Rabu selepas kali terakhir dilihat di unit kondominiumnya di Ara Greens, Ara Damansara dekat Petaling Jaya, Selangor selepas bertengkar dengan ibunya Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sharulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mengenai gadis itu, Anis Zulaikha Abdul Azim pukul 9.44 pagi Ahad.

“Berdasarkan maklumat kami, Anis kali terakhir dilihat di unit kondominiumnya di Ara Greens, Ara Damansara kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI : [VIDEO] Geng pemancing cemas, kapal pengawal pantai China tiba-tiba muncul di Beting Patinggi Ali

Tambah Sharulnizam, gadis itu dipercayai keluar dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya.

“Pada pagi sebelum hilang, Anis bertengkar dengan ibunya kerana tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar pada waktu malam dan keluar bersama rakan.

"Sebelum keluar dari rumah, dia memberitahu ibunya dia akan keluar tetapi tidak memberitahu dengan siapa dan ke mana dia pergi.

"Salah seorang daripada pembantu rumah mereka memberitahu ibu bapa Anis dilihat membawa beg bagasi ketika keluar dari rumah," ujarnya.

BACA LAGI : [VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

Jelasnya lagi, sebelum ini, Anis sudah berkali-kali memberitahu ibunya bahawa dia mahu lari dari rumah kerana berasa terlalu dikongkong.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja perempuan berkenaan diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram