[VIDEO] Tapak kasut mirip kalimah ALLAH: Dr Akmal Saleh beri pengeluar kasut tempoh 24 jam buat penjelasan


  • Massa
  • Ahad, 07 Apr 2024

Tapak kasut yang dilakar seakan-akan kalimah ALLAH mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia.

KETUA Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh menuntut penjelasan daripada pengeluar kasut tempatan berhubung dakwaan tertera logo dipercayai mirip kalimah ALLAH pada tapak kasut milik syarikat itu.

Beliau mengakui marah saat dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun masih mengambil pendekatan untuk bertenang dan mengumpul maklumat berkaitan jenama tersebut terlebih dahulu.

Dr Akmal bagaimanapun menuntut pengeluar itu untuk memberi penjelasan bagi pihak mereka dalam tempoh 24 jam sahaja.

WhatsApp Image 2024-04-07 at 16.13.21

Logo di tapak kasut tersebut seakan-akan lakaran sebuah kasut tumit tinggi berserta tali.

"Pagi ini (Ahad) saya menerima mesej yang menyatakan ada isu kalimah ALLAH di tapak kasut pula.

"Marah memang marah bila terdengar perkara sedemikian, tetapi saya menenangkan diri untuk melihat apakah situasi yang sebenarnya berlaku.

"Apabila saya lihat semula, saya mencari sebanyak mana maklumat mengenai logo di tapak kasut sedemikian," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah jadi trend ke?' suami isteri terkejut kalimah ALLAH tertera pada tapak kasut jenama lokal

BACA LAGI: Pengasas KK Super Mart mohon maaf kepada Agong, umat Islam

Dr Akmal memberitahu, tidak dinafikan, dia melihat logo tersebut seakan-akan lakaran sebuah kasut tumit tinggi berserta tali, namun tetap menuntut penjelasan daripada pihak berkenaan.

"Ada logiknya di situ tetapi apa sekalipun kita mendesak satu penjelasan yang segera daripada syarikat V**** mengenai isu ini.

"Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa, kami berhusnuzon (bersangka baik) terlebih dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu.

"Jika tiada penjelasan dalam tempoh 24 jam, maka jangan salahkan kami jika (kami) boikot produk kamu pula selepas ini," jelasnya.

Untuk rekod, Dr Akmal merupakan antara individu yang lantang menyuarakan pandangan berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Selangor baru-baru ini.

Majoriti sebelum ini melaporkan, seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Mohd Haridz mengakui terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah ALLAH.

Difahamkan, kasut berharga RM100 itu dibeli di rangkaian butik jenama berkenaan yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram