
NAMPAKNYA, pengguna Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh di Pahang masih lagi 'liat' untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
Perkara itu dibuktikan menerusi perkongsian sebuah video seorang pempengaruh dalam bidang automotif, Hezeri Samsuri di laman X (Twitter) miliknya pada Rabu.
Berdasarkan rakaman berdurasi 51 saat itu, Hezeri menunjukkan keadaan terkini sekitar LTU yang dipenuhi dengan sampah sarap bertebaran dibuang pengguna lebuh raya di bahu jalan.
"Menarik tak Malaysia? Nampak tak bertimbun sampah. Astaghfirullah. Kalau kalian berhenti nak berbuka sekalipun, janganlah buat perangai macam ini.
"Allahuakbar, tolong janganlah pengotor sangat," katanya.
BACA LAGI: Jumlah kutipan sampah di KL menurun tapi paling banyak malam tahun baharu
Isu pembuangan sampah di laluan berkenaan sebenarnya sudah berlanjutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih tiada jalan penyelesaian.
Malah pada tahun 2022, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long pernah menyuarakan mengenai masalah tersebut.
Jelas Mustapa, menjaga kebersihan laluan CSR Lipis-Merapoh termasuk di lebuh raya lain merupakan tanggungjawab bersama malahan amalan murni berkenaan dapat menjimatkan kos penyelenggaraan mengangkut sampah dan pada masa yang sama lokasi di situ ceria mampu menyenangkan mata memandang.
Menjaga kebersihan laluan CSR Lipis-Merapoh termasuk di lebuh raya lain merupakan tanggungjawab bersama.
Namun beberapa tahun berlalu, sepertinya tiada penambahbaikan dibuat pengguna lebuh raya berkenaan.
Susulan itu, Hezeri berpandangan, kerajaan dicadang untuk membina tol di laluan tersebut sekiranya masalah tersebut masih berpanjangan.
"Aku rasalah, kalau pengguna masih suka buang sampah kat laluan Central Spine Road tu, baik letak tol.
"Ada juga duit nak upah orang bersihkan sampah. Bagi percuma tapi tak reti jaga.
"Bab ni senyap sunyi pemimpin. Apa dalam agama tidak menyebut pasal pengotor ke? Tak ada sebut jaga imej agama ke?" soalnya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid dilaporkan berkata, orang ramai tidak seharusnya menganggap tiada kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R) sebagai alasan untuk membuang sampah di kawasan itu.
Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya mereka menyimpan sampah di dalam kenderaan buat sementara waktu sebelum membuangnya di tempat yang disediakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram