[VIDEO] Takbir raya berkumandang seawal 6 pagi, Indonesia sambut lebaran 5 hari lebih awal


  • Benua
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Ratusan umat Islam di Masjid Aolia di Panggang, Gunungkidul, Jogyakarta, Indonesia menunaikan solat sunat Aidilfitri pada Jumaat. — Agensi

JIKA rakyat Malaysia sibuk dengan persiapan minggu terakhir Ramadan, lain pula ceritanya buat masyarakat Islam di Jogjakarta, Indonesia.

Ratusan penduduk beragama Islam di Panggang, Giriharjo sudah pun menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat.

Menerusi perkongsian video di media sosial, kelihatan jemaah yang hadir ke Masjid Aolia di Gunungkidul menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri pada Jumaat.

Mereka difahamkan mula berkumpul di masjid tersebut seawal pukul 6 pagi bagi melaungkan takbir raya.

Untuk makluman, sambutan lebaran di kawasan itu dibuat lima hari lebih awal berbanding pengumuman kerajaan Indonesia terhadap tarikh Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 10 April depan.

Majoriti sebelum ini melaporkan sebahagian penduduk Jogjakarta, Indonesia sudah mula menunaikan ibadah puasa sejak 7 Mac lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Umat Islam Indonesia sudah mula tarawih, berpuasa seminggu awal berbanding Malaysia

BACA LAGI: Amalkan... Mustajab doa 10 minit terakhir sebelum buka puasa

Memetik laporan media antarabangsa, jemaah di Masjid Aolia mula menunaikan solat tarawih pada tarikh berkenaan.

Hal tersebut tular selepas video perkongsian jemaah masjid berkenaan menunaikan solat tarawih dimuat naik di platform TikTok.

Imam Masjid Aolia, Ibnu Hajar Sholeh Pranolo berkata, solat tarawih yang dilakukan oleh jemaah di masjid berkenaan sama dengan solat tarawih yang dilakukan di lokasi lain.

Sementara itu, Ketua Kementerian Agama Gunungkidul turut tampil memberikan penjelasan berhubung keadaan tersebut.

"Kementerian Agama telah mendapat penjelasan daripada Ibnu Hajar tentang punca mereka memulakan tarawih pada malam tadi.

"Kami berjumpa dan (Ibnu) memberitahu bahawa ia dilakukan atas dasar keyakinannya," kata Ketua Pejabat Kementerian Agama Gunungkidul, Sa' Aban Nuroni. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram