DUA beradik lelaki yang dalam perjalanan menghadiri hari terakhir persekolahan sebelum cuti hari raya dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang dipercayai terlibat dalam satu kemalangan langgar lari di Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat.
Kejadian di persimpangan Taman Desa Salak pada pukul 7.12 pagi itu mengorbankan Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, di lokasi kejadian.
Kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.
kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut.
Tindakan cuai pemandu kenderaan pacuan empat roda yang belum dikenal pasti itu menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman audio bongkar perbuatan bapa durjana cabul, dera seksual anak kandung 5 tahun
BACA LAGI: Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau
Menerusi maklumat awal dikongsikan orang awam, kenderaan terlibat itu melarikan diri dari lokasi sejurus selepas kemalangan.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Melalui gambar yang tersebar di media sosial, kedua-dua beradik yang maut itu juga dilihat terbaring di tengah-tengah jalan dan sudah ditutupi kain putih.
Turut tular satu video berdurasi kurang seminit memaparkan kejadian tragedi malang tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata,pihak polis menerima maklumat pada pukul 7.12 pagi.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, menerusi komen di media sosial, seorang pengguna dikenali sebagai Wahida Hamed, berkata, kedua-dua mangsa merupakan bekas anak murid di Sekolah Kebangsaan Setia Jaya.
"(Mereka) anak-anak yang baik, taat. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman," tulisnya.
Membalas komen itu, Nurul Hidayah berkata, ALLAH lebih sayangkan mereka disebabkan dua sifat tersebut.
"Sebab anak murid cikgu ni baik, taat, ALLAH lebih sayangkan mereka. Meninggal pada bulan baik, hari baik. Salam takziah buat ahli keluarga," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram