Perancangan kebangkitan hambar, tidak sehaluan tema pusat antara faktor dorong Tengku Zafrul letak jawatan Bendahari Umno Selangor


  • Politik
  • Isnin, 01 Apr 2024

Tengku Zafrul (dua dari kanan) meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor berkuat kuasa Isnin. — Facebook/Tengku Zafrul

KETUA Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor.

Perkara itu diumumkan menerusi laman Facebook miliknya pada Isnin.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu didorong oleh beberapa faktor antaranya perancangan kebangkitan parti itu di Selangor dilihat hambar dan sudah tidak sehaluan dengan tema di Umno Pusat.

"Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Umno dan kepimpinan nasional tidak berhenti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

"Namun sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksanakannya ada di negeri dan ke bawah.

"Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh

zafrul2

Tengku Zafrul dilantik memegang jawatan tersebut pada 12 April 2023.

BACA LAGI: Haram guna perkataan kafir: Fadhlina Sidek buat laporan polis terhadap 2 pengendali akaun Facebook

Tengku Zafrul turut memberitahu, Selangor merupakan negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

Ujar Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) itu lagi, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, ia sukar digelar sebagai parti nasional atau parti untuk masa hadapan.

"Untuk mengelak hakikat tersebut, strategi ampuh seharusnya dirangka mengikut ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa," katanya.

Tegasnya, keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan segera.

Antara lain katanya, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

"Kerjasama dengan parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

"Pendekatan dan prinsip saya mudah, kalau tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

"Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram