SERAMAI lima menteri baharu dilantik dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Menteri yang baru dilantik termasuklah tiga 'muka lama' iaitu Gobind Singh Deo yang dilantik sebagai Menteri Digital; Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan); Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi); selain dua 'wajah baharu' iaitu Steven Sim Chee Keong (Menteri Sumber Manusia) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II.
Gobind Singh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2018; Dr Dzulkefly pula pernah dilantik sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini sementara Johari juga pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan II semasa pentadbiran Barisan Nasional di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari Jun 2016 sehingga peralihan dalam kerajaan pada Mei 2018.
Pada masa sama, Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) pula mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan memangku kementerian berkenaan selepas kematian mengejut Salahuddin pada Julai lepas. Rombakan itu menyaksikan Armizan bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas).
Dalam rombakan Kabinet kali ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pula merupakan satu-satunya menteri yang digugurkan bersama dua timbalan menteri lain iaitu Ramkarpal Singh Karpal Singh dan Datuk Seri Aminah Aching.
Selain itu, terdapat beberapa perubahan portfolio berlaku pada rombakan Kabinet kali ini termasuklah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini merupakan Menteri Pertahanan; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebelum ini Menteri Luar; Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini Menteri Kesihatan; selain beberapa kementerian baharu iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam) serta Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Menteri Komunikasi).
Berdasarkan pengumuman Anwar, Ahli Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 kepada 31 orang; jumlah timbalan menteri (27 ke 29 orang); manakala jumlah keseluruhan meningkat daripada 55 ke 60 orang Ahli Jemaah Menteri.
Jumlah itu, begitupun masih rendah berbanding 70 barisan Kabinet ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Semua menteri yang terbabit dengan rombakan Kabinet itu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang Selasa.
Dalam pada itu, rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan buat kali pertama selepas kepimpinan Anwar melangkaui usia setahun, bertujuan untuk membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.
Dalam sidang media pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu, Anwar yang mengekalkan portfolio Menteri Kewangan berkata, rombakan dibuat kerana setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup, harus ditangani dengan baik.
"Penerimaan di peringkat antarabangsa yang memerlukan tugas di Kementerian Luar (penting), isu pendidikan, pendidikan tinggi, terutama dalam beberapa usaha kita meneroka bidang baharu.
"Ia seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital.. yang menyebabkan saya memikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian (dalam Kabinet) dengan melihat kepada keadaan dan tuntutan semasa,” katanya.
Berikut merupakan senarai portfolio Kabinet terkini:
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kekal)
Menteri Kewangan 2
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (baharu)
Timbalan Menteri Kewangan
Lim Hui Ying (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan)
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kekal)
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Datuk Rubiah Wang (kekal)
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam
Datuk Seri Fadillah Yusof (kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim atau NRECC).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam
Akmal Nasrullah Mohd Nasir (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan)
Menteri Pengangkutan
Anthony Loke Siew Fook (kekal)
Timbalan Menteri Pengangkutan
Datuk Hasbi Habibollah (kekal)
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Datuk Seri Mohamad Sabu (kekal)
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Datuk Arthur Joseph Kurup (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
Menteri Ekonomi
Rafizi Ramli (kekal)
Timbalan Menteri Ekonomi
Datuk Hanifah Hajar Taib (kekal)
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan
Nga Kor Ming (kekal)
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan
Datuk Aiman Athirah Sabu (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
Menteri Luar
Datuk Seri Mohamad Hasan (bertukar portfolio, sebelum ini Menteri Pertahanan)
Timbalan Menteri Luar
Datuk Mohamad Alamin (kekal)
Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kekal)
Timbalan Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Ahmad Maslan (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan)
Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kekal)
Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kekal)
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kekal)
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Liew Chin Tong (kekal)
Menteri Pertahanan
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (bertukar portfolio, sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi)
Timbalan Menteri Pertahanan
Adly Zahari (kekal)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
Chang Lih Kang (kekal)
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
Datuk Mohammad Yusof Apdal (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi)
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Nancy Shukri (kekal)
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (baharu)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
Datuk Seri Azalina Othman Said (kekal)
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)
M. Kulasegaran (baharu)
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Nik Nazmi Nik Ahmad (kementerian baharu, pecahan daripada NRECC)
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Datuk Seri Huang Tiong Sii (kekal, kementerian baharu)
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Datuk Ewon Benedick (kekal)
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Datuk R. Ramanan (baharu)
Menteri Pendidikan Tinggi
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (bertukar portfolio, sebelum ini Menteri Luar)
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Manusia)
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Datuk Seri Tiong King Sing (kekal)
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Khairul Firdaus Akbar Khan (kekal)
Menteri Komunikasi
Fahmi Fadzil (kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital)
Timbalan Menteri Komunikasi
Teo Nie Ching (kekal, kementerian baharu)
Menteri Pendidikan
Fadhlina Sidek (kekal)
Timbalan Menteri Pendidikan
Wong Kah Woh (baharu)
Menteri Perpaduan
Datuk Aaron Ago Anak Dagang (kekal)
Timbalan Menteri Perpaduan
Saraswathy Kandasami (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kekal)
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Dr Zulkifli Hassan (baharu)
Menteri Belia dan Sukan
Hannah Yeoh (kekal)
Timbalan Menteri Belia dan Sukan
Adam Adli Abd Halim (kekal)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
Dr Zaliha Mustafa (bertukar portfolio, sebelum ini Menteri Kesihatan)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Datuk Armizan Mohd Ali (bertukar portfolio, sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas))
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Fuziah Salleh (kekal)
Menteri Perladangan dan Komoditi
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (baharu)
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi
Datuk Chan Foong Hin (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan)
Menteri Kesihatan
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (baharu)
Timbalan Menteri Kesihatan
Datuk Lukanisman Awang Sauni (kekal)
Menteri Digital
Gobind Singh Deo (kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital)
Timbalan Menteri Digital
Datuk Ugak Anak Kumbong (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas))
Menteri Sumber Manusia
Steven Sim Chee Keong (baharu)
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (bertukar portfolio, sebelum ini Timbalan Menteri Kerja Raya) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram