Senarai calon dikenal pasti, pengganti CEO KWSP akan diumumkan dalam masa terdekat — PM Anwar


  • Primer
  • Khamis, 18 Jan 2024

Pengganti CEO KWSP akan diumumkan oleh pihak kerajaaan tidak lama lagi. — Gambar hiasan

PENGGANTI bagi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senarai beberapa calon telah dikemukakan kepada pihaknya.

"Seperti biasa ia akan mengambil sedikit masa kerana perlu melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya menurut laporan media.

Kekosongan jawatan CEO KWSP itu berlaku selepas penyandangnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet 12 Disember lalu.

BACA LAGI: Akaun Fleksibel KWSP bakal diperkenal, pencarum boleh akses dana bila-bila masa

1966366

Amir Hamzah Azizan merupakan bekas penyandang jawatan CEO KWSP sebelum ini. — The Star

Amir merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Februari 2015 hingga 9 Mac 2020.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman merupakan antara nama-nama yang disebut dalam laporan media sebelum ini sebagai pengganti Amir.

Mengenai isu pelarasan tarif air, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pelarasan itu dibuat kerana mendapat permintaan daripada semua pihak berkaitan.

Anwar menjelaskan, pelarasan itu diusulkan dalam mesyuarat bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Sudah dijelaskan oleh semua pihak bahawa semua negeri meminta kita menaikkan (tarif air).

"Dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri, ada negeri tidak naikkan (tarif air) lebih 40 tahun, jadi mereka mengusulkannya dan Kerajaan Persekutuan setuju," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram