SEJAK dua tahun lalu, penggunaan kereta elektrik (EV) di Malaysia dilihat semakin meluas dan mendapat perhatian pengguna di dalam negara.
Perkembangan itu dibantu antara lain oleh beberapa insentif dilaksanakan kerajaan termasuk memberikan pelepasan cukai.
Bagaimanapun, di sebalik usaha untuk menggalakkan penggunaan kereta EV, harganya disifatkan masih agak mahal untuk dimiliki.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan bahawa Malaysia bakal memiliki kereta EV mampu milik pada hujung 2025.
"Apabila bercerita tentang EV, ramai mengadu harganya terlalu tinggi. Oleh itu, Perodua telah dipilih sebagai peneraju pengeluaran EV mampu milik tempatan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).
"Semalam (Isnin) saya berbincang dengan syarikat Perodua bagi mengetahui lebih lanjut perkembangan projek EV mereka dan bagaimana Kerajaan dapat membantu untuk menjayakan projek tersebut demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara," katanya menerusi ciapan pada Selasa.
BACA LAGI: Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap
Fasiliti kemudahan EV dilihat masih tidak begitu meluas di dalam negara. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, hantaran tersebut ternyata mendapat respons agak negatif daripada warga maya yang rata-ratanya mempersoalkan kewajaran kerajaan untuk memberikan fokus berlebihan terhadap sektor pembuatan kereta EV.
Menurutnya, ini kerana kerajaan sepatutnya memberikan lebih penekanan terhadap usaha mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam berbanding pembangunan kenderaan persendirian itu.
"Mengapa kita beri tumpuan terhadap EV? Adakah kita mempunyai data untuk menyokong dasar ini? Adakah ini yang diperlukan masyarakat Malaysia sekarang?," soal lawabidingciti1.
"Bas EV seterusnya? Saya tidak fikir orang kita benar-benar mahu beralih kepada kereta EV," ujar KakiSelamMY.
"Orang mengadu mengenai pengangkutan awam, tiada siapa mengadu pasal harga EV mahal. B40 dan M40 tiada pun nak beli EV," tulis Knightspeed1.
"Daripada fikirkan kereta EV, kenapa tidak bangunkan bas EV. Satu bas boleh muat lebih 40 kereta (kalau satu orang dalam satu kereta) untuk digunakan di jalan raya," kata Hibiscus_Trnfn.
"Kita memerlukan pengangkutan awam yang cekap berbanding dengan keperluan terhadap EV. Tiada ada gunanya melaksanakan EV apabila kebanyakan lebuh raya sentiasa sesak," tulis xXbobbyXx.
Kereta EV bukan keperluan mendesak untuk negara
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, penekanan terhadap kereta EV dilihat tidak menawarkan penyelesaian terhadap dua isu utama terhadap pengangkutan negara.
Ujarnya, dua masalah dimaksudkan adalah kesesakan mengenai kesesakan jalan raya dan tahap keselamatan yang masih tidak memuaskan bagi pengguna.
"Jadi adakah penggunaan kereta EV itu boleh selesaikan masalah ini? Saya rasa tidak. Selain itu, impaknya dalam melindungi kelestarian alam sekitar juga masih menimbulkan banyak perdebatan dan persoalan," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Katanya, pendirian itu tidak bermakna kerajaan perlu menghentikan penggunaan kereta EV, sebaliknya berpandangan masih tiada keperluan mendesak ke arah itu.
Perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat sebagai penyelesai utama masalah pengangkutan di negara ini turut didapati berada di tahap yang masih jauh daripada memuaskan. — Gambar hiasan
Ujarnya, fasiliti semasa juga dilihat tidak begitu menyokong terhadap penggunaan kereta EV secara meluas di Malaysia.
Pada masa sama, Teik Hua menjelaskan, perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat sebagai penyelesai utama masalah pengangkutan di dalam negara turut didapati berada di tahap yang masih jauh daripada memuaskan.
"Sekarang ini masih ramai cenderung untuk tak guna pengangkutan awam. Jadi perkhidmatan itu mesti ditingkatkan lagi supaya pengguna khususnya orang muda lebih tertarik untuk guna.
"Jadi bila lebih ramai orang yang guna, kita mungkin akan selesaikan masalah yang kita sedang hadapi dalam sektor pengangkutan kita ketika ini," ujarnya.
Kereta EV sebagai pembelian mewah, ikut trend semasa
Sementara itu, bagi pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri, beliau berpandangan kepentingan kereta EV di Malaysia ketika ini dilihat masih belum begitu meluas.
Menurutnya, rata-rata daripada mereka yang membeli kenderaan tersebut menjadikan ia sebagai satu pembelian mewah atau sekadar mengikut trend semasa.
Ujarnya, situasi itu sama sekali berbeza dengan negara luar yang melihat kereta EV kepentingannya dari sudut berbeza.
"Contohnya di negara jiran seperti Thailand, EV memang penting sebab harga minyak mereka mahal.
"Jadi dekat sana walaupun harga EV masih sedikit mahal, ia masih laku kerana kalau mereka guna EV, mereka boleh mengimbangi harga petrol yang lebih mahal kosnya," kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan kereta EV mampu milik yang bakal dikeluarkan Perodua akan menyasarkan terhadap pengguna di kawasan bandar.
Jelasnya, ini dengan mengambil kira kebergantungan penduduk di bandar yang masih tinggi terhadap penggunaan kereta khususnya bagi mengatasi 'first and last mile issues' ketika menggunakan pengangkutan awam.
BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri
Pemerhati automotif, Hezeri Samsuri. — Twitter/HezeriSamsuri
First mile merujuk kepada kemudahan para pengguna mengakses ke lokasi transit menggunakan pengangkutan awam yang disediakan manakala last mile pula adalah cara pengguna menuju ke lokasi terakhir dari lokasi transit itu.
"Kalau di bandar, bagus macam mana pun pengangkutan awam, ramai pengguna masih sukar untuk bergantung kepadanya atas pelbagai isu terutamanya melibatkan masalah 'first and last mile issues'.
"Pada masa sama, yang paling penting juga adalah dari segi penjagaan anak. Contohnya kalau ibu bapa bekerja di pejabat dan perlu ambil anak mereka di sekolah waktu tengah hari, kalau nak naik pengangkutan awam memang tak sempat.
"Jadi situasi gaya hidup keluarga seperti ini pun beri satu rintangan untuk masyarakat guna pengangkutan awam," katanya.
Pada masa sama, Hezeri berpandangan bahawa pelaburan kerajaan dalam industri EV disifatkan masih agak minimum kerana ia dilaksanakan oleh syarikat swasta seperti Perodua.
Beliau menambah, penggunaan kereta EV juga dilihat mampu membantu negara melonjak ke arah negara maju melalui pelaksanaan perdagangan karbon yang memberi tumpuan kepada pengawalan pelepasan karbon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram