[VIDEO] Satu-satunya mangsa terselamat tragedi bot karam di Kapit meninggal dunia


  • Tular
  • Rabu, 20 Mac 2024

Pihak bomba menjalankan operasi pencarian mangsa di perairan Seputin, Sarawak pada Jumaat. — Bomba Sarawak

SATU-SATUNYA mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, Sarawak pada 7 Mac lalu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira pukul 2 petang, Selasa.

Berita sedih itu dikongsikan oleh ahli keluarga mangsa, Muhammad Firdaus Ngui Abdullah @ Moses Ngui, 47, di laman Facebook.

Dalam kejadian sebelum ini, mangsa bersama empat lagi individu menaiki bot sama sebelum dia sempat diselamatkan penduduk kampung.

Bagaimanapun, empat lagi mangsa ditemukan lemas dihanyutkan arus deras selang beberapa hari kemudian.

Menurut hantaran tersebut, jenazah Muhammad Firdaus diuruskan di Bilik Pengurusan Jenazah HUS dan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Semariang pada Rabu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Batang Baleh, Kapit pada 7 Mac 2024 lalu kembali ke Rahmatullah pada Selasa di HUS.

“Jenazah akan dihantar ke kediamannya di Taman Sukma, dengan pengebumian dijadualkan di Tanah Perkuburan Islam Semariang hari ini (Rabu),” katanya.

BACA LAGI: Doa isteri termakbul, mangsa terakhir bot karam Kapit ditemukan terapung lepas 9 hari

Mangsa meninggal dunia di HUS kira-kira pukul 2 petang, Selasa.

BACA LAGI: Polis Mersing terima 5 laporan dakwaan serangan seksual ketua sayap pemuda parti politik

Bagaimanapun, punca kematian Muhammad Firdaus masih belum diketahui setakat ini.

Semasa insiden pada petang 7 Mac lepas, Muhammad Firdaus, Amerson John Nain, 47, dan Jack Balan, 45, merupakan sebahagian daripada pasukan yang ditugaskan untuk membawa bahan letupan dari Kuching ke Nanga Tulie, diiringi anggota polis Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, dan Sarjan Jonathan Lambert.

Tragedi berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila bot dinaiki mereka terbalik selepas terbabas sedikit ke hulu dan menemui pusaran air berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Batang Baleh.

Muhammad Firdaus berjaya diselamatkan orang awam sementara empat lagi mangsa ditarik ke dalam air.

Tiga hari kemudian, mayat Jonathan dan Jack masing-masing ditemui berhampiran pasar Kapit dan di perairan Pulau Kerto, manakala mayat Amerson ditemui di Batang Lebaan.

Pada 15 Mac, mayat Iskandar pula ditemui di kawasan Seputin, Batang Rajang, kira-kira 2 kilometer (km) dari lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram