MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, Selangor pada Selasa melepas dan membebaskan (DAA) Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila daripada pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal seperti yang tular di media sosial sebelum ini.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Inspektor Sheila, 35, dengan alasan tuduhan berkenaan tidak dibacakan terhadap tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret, mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, tiga lagi tuduhan yang dibacakan terhadap Inspektor Sheila dan diambil pengakuannya pada 26 Jun lalu masih kekal dan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan selama tiga hari bermula 5 Februari tahun depan.
Difahamkan tuduhan yang tidak dibacakan itu susulan terdapat masalah teknikal ketika kes didaftarkan di Mahkamah Majistret Selayang.
Perbuatan inspekor tersebut sebelum ini tular dalam tiga video berasingan sejak 16 Jun lalu dengan dua daripadanya menunjukkan perbuatannya menghina anggota berpangkat rendah sementara satu lagi kes pula membabitkan pertengkarannya bersama orang awam ketika sedang berada di kawasan parkir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Ekoran itu, pegawai polis wanita itu sudah digantung tugas dan arahan tersebut berkuat kuasa sehingga proses siasatan ke atasnya selesai.
Pada 26 Jun lalu, Sheila Sharon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang terhadap tiga pertuduhan ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.
Dia didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram