KEHIDUPAN mahasiswa di universiti sentiasa bersandarkan undang-undang yang disebut sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Ia adalah akta yang digubal kerajaan Malaysia dan diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971.
Auku 1971 yang mempunyai 44 Seksyen di dalamnya juga turut mengandungi tujuh peruntukan berkaitan dengan pelajar.
Akta itu pada asalnya digubal untuk menyediakan rangka kerja berpusat bagi perkembangan pendidikan tinggi di negara ini.
Bagaimanapun fungsinya mula dipertikai selepas ia dikatakan menjadi sekatan terhadap autonomi universiti dan kebebasan pelajar untuk bersuara.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Auku menjadi topik perbincangan hangat dan kontroversi di Malaysia khususnya dalam kalangan aktivis pelajar.
Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan pindaan terbaharu pada Auku (Pindaan) 2023 melalui undian suara.
Pindaan mendapat undian sebulat suara ahli Parlimen itu membabitkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama Auku.
RUU Auku Pindaan 2023 itu dijadualkan dibentangkan untuk kelulusan di Dewan Negara pada April ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara pertahan hak pendidik dan pelajar, guru kena 'headshot' lepas pulang mengajar
AUKU berperanan penting dalam mengatur tadbir urus universiti awam di Malaysia.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu naik hantu 'King' kena hentam Nissan Fairlady di Genting Highlands
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pernah berkata, Auku berperanan penting dalam mengatur tadbir urus universiti awam di Malaysia.
Namun pindaan-pindaan terkini bukan sekadar penambahbaikan, tetapi juga merupakan langkah progresif dalam meningkatkan kemandirian mahasiswa, terutama dalam pengurusan kewangan persatuan mereka.
Secara keseluruhannya, pindaan RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 mengandungi lima fasal yang melibatkan enam peruntukan.
Susulan itu, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Muntasir Aznan menyuarakan pandangannya berhubung pindaan tersebut:
1) Membenarkan MPP dan badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan
Mahasiswa seharusnya diberi kebebasan untuk memungut wang dan menerima sumbangan daripada entiti luar sebagai usaha memupuk semangat kolaborasi yang lebih kerap antara pihak luar dan badan pelajar.
Bagaimanapun dengan pelaksanaan ini, MPP tidak menolak kemungkinan ada sesetengah parti politik yang akan cuba mengambil kesempatan terhadap akaun kewangan badan pelajar.
Justeru, pada peringkat pelaksanaan ini, pimpinan mahasiswa seharusnya jelas dan tegas terhadap setiap pergerakan keluar masuk wang dalam akaun mereka.
Perlu adanya polisi penerimaan dana yang menyatakan pendirian mereka berhubung dana daripada parti politik.
Sebagai contoh di peringkat Kesatuan Pelajar UIA, mereka tidak terima sebarang dana daripada parti politik kerana kesatuan pelajar seharusnya bersifat neutral politik.
Sebarang sumbangan parti politik hanya diterima dalam bentuk 'in-kind' atau barangan sahaja dan tujuan sumbangan hanya terhad untuk kebajikan mahasiswa.
Ahmad Muntasir Aznan
2) Pertukaran pihak berkuasa tatatertib pelajar universiti
Ini adalah satu pindaan yang sesuai mengikut keadaan semasa di institusi pengajian tinggi (IPT).
Walau bagaimanapun, penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa tatatertib ini perlu disertakan bagi memastikan tiada ketidakadilan dalam keputusan yang dibuat.
3) Tempoh lantikan MPP berdasarkan kalendar akademik
Sesi libat urus perlu diadakan dengan mengambil kira pandangan setiap pemegang taruh.
Perubahan tempoh lantikan boleh mempengaruhi hala tuju dan gerak kerja pemimpin mahasiswa dan konsistensi tarikh pilihan raya.
Oleh itu, keputusan yang komprehensif perlu dibuat dengan mengambil kira semua pendapat pemegangtaruh.
Pindaan AUKU pada 2019 membenarkan pelajar di IPT berpolitik dalam dan di luar kampus.
4) MPP dibenarkan untuk menyenggara kumpulan wang (akaun)
Kesatuan pelajar UIAM sudah lama mempunyai autonomi ini kerana institusi itu satu-satunya badan pelajar yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Namun perlu ada satu garis panduan yang jelas sebagai rujukan mahasiswa supaya dapat menyelenggara akaun berkenaan dengan teratur di samping mengangkat nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban.
5) Kuasa kepada Lembaga untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang
Perlunya sokongan yang baik dari lembaga universiti untuk membantu merealisasikan agenda pemerkasaan tersebut.
Diharapkan supaya peraturan ini dapat dirangka dengan mengambil kira pandangan kepimpinan mahasiswa dan tidak menyusahkan serta menindaskan mahasiwa dalam proses pemungutan wang.
Peraturan yang dirangka tidak seharusnya menambahkan birokrasi yang mampu melambatkan urusan perolehan wang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram