APLIKASI TikTok semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019.
Tahukah anda bahawa platform popular itu menetapkan had umur 13 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan membuka akaun?
Namun jika diperhatikan, ramai sebenarnya pengguna media sosial itu yang terdiri daripada murid sekolah rendah.
Ini kerana tiada siapa yang dapat mengesahkan identiti sebenar penggunanya, jadi tentu sahaja ia boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Malah menerusi penilaian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sendiri, beliau mendapati ramai individu berumur 13 tahun ke bawah yang memiliki akaun TikTok masing-masing.
“Dalam pengamatan saya sendiri sebagai Ahli Parlimen apabila di kawasan bertemu dengan murid saya bertanya berapa ramai anak di sini ada akaun TikTok.
“Darjah satu sampai enam, hampir 90 peratus ada akaun TikTok, jadi walaupun ada garis panduan seperti ini, ia tidak memadai,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada 13 Mac lalu.
Susulan itu, seorang guru di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak yang dikenali sebagai Muhammad Imran berkongsi tiga keburukan dan kebaikan sekiranya murid sekolah rendah mempunyai akaun TikTok sendiri.
BACA LAGI: [VIDEO] Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah
TikTok boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
Keburukan:
1. Kandungan tidak sesuai
TikTok yang menjadi kegilaan masyarakat seantero dunia ketika ini sarat dengan pelbagai bentuk pengisian.
Ada yang berkisar tentang kecantikan, masakan, pengalaman hidup, kisah-kisah mistik sehinggalah yang berunsur ganas dan seksual.
Dengan kehadiran pelbagai jenis video yang dimuat naik, pastinya ada kandungan yang tidak bersesuaian untuk ditonton oleh kumpulan umur tertentu terutamanya murid sekolah rendah.
Kemudahan akses terhadap platform media teknologi digital itu menyebabkan golongan berkenaan boleh menonton apa sahaja perkongsian mengikut kemahuan mereka.
Apatah lagi, dengan pengaruh rakan-rakan di sekolah, ia akan memburukkan lagi situasi.
Justeru penting bagi ibu bapa dan guru-guru untuk mengawasi apa yang dilihat dan dihasilkan oleh kanak-kanak.
2. Privasi murid
Kanak-kanak mungkin tidak menyedari risiko privasi apabila mereka berkongsi video dan maklumat peribadi di platform ini.
Tidak dinafikan, TikTok sendiri tidak membenarkan kandungan mengandungi maklumat peribadi yang mungkin mencipta risiko pengintaian, keganasan, pemancingan data, penipuan, pencurian identiti atau eksploitasi kewangan.
Ini termasuk kandungan yang seseorang telah siarkan atau kandungan yang mereka izinkan untuk disiarkan oleh orang lain.
Meskipun TikTok memberi ruang untuk anak-anak muda menzahirkan sisi kreatif mereka, namun jangan lupa ia juga mempunyai kesan jangka panjang yang bersifat negatif.
Penggunaan tanpa kawalan berisiko menyebabkan privasi kanak-kanak dan keluarga mereka tergadai.
Misalnya, apabila ada anak-anak yang membuat rakaman video di dalam rumah hingga menampakkan hampir keseluruhan kediaman mereka dan barangan berharga seperti barang kemas dan mungkin juga nombor pendaftaran kenderaan.
Maklumat peribadi seperti ini berisiko mengumpan penjenayah yang menjadikan media sosial sebagai lubuk untuk mencari mangsa.
3. Menjejaskan kesihatan murid
Menghabiskan masa yang banyak di TikTok boleh mendatangkan masalah kesihatan buat murid.
Menghabiskan masa yang banyak di TikTok boleh mengakibatkan kurangnya aktiviti fizikal, yang merupakan faktor risiko untuk obesiti dan masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung dan diabetes.
Pada masa sama, penggunaan TikTok sebelum tidur boleh mengganggu pola tidur murid, yang boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti keletihan, kurang konsentrasi, dan penurunan prestasi akademik.
Ia sekali gus boleh mengganggu pembelajaran murid dengan mengambil masa dan perhatian yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti akademik.
Muhammad Imran
Kebaikan:
1. Pengajaran berbentuk visual
TikTok membolehkan pengguna untuk menyampaikan maklumat secara visual dalam format video yang pendek. Ini boleh menjadi cara yang efektif untuk menyampaikan fakta-fakta berbentuk kompleks atau sukar difahami dengan cara yang lebih menarik dan mudah diingati oleh murid.
2. Pembelajaran interaktif
Banyak pengguna TikTok menghasilkan kandungan yang berinteraksi dengan penonton mereka.
Ramai pengguna TikTok menghasilkan kandungan interaktif yang membolehkan berlakunya interaksi sesama penonton.
Ini termasuk soalan berbentuk cabaran untuk menyelesaikan teka-teki atau pameran projek sains.
Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat menggalakkan murid untuk terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran.
3. Komuniti pendidikan
Terdapat komuniti TikTok yang khusus diarahkan kepada murid dan pembelajaran. Murid boleh bergabung dengan komuniti-komuniti ini untuk berkongsi idea, memberi sokongan kepada sesama pelajar atau mencari bahan-bahan pembelajaran tambahan.
TikTok boleh menjadi sumber tambahan untuk pembelajaran di luar bilik darjah. Terdapat banyak pengguna yang berkongsi tip belajar, fakta menarik atau resipi untuk membantu murid meningkatkan pemahaman mereka dalam pelbagai subjek.
Bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa pengalaman setiap individu dengan TikTok mungkin berbeza. Penggunaan platform media sosial harus diimbangi dengan kesedaran tentang kesannya terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Sekolah dan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mengawal dan mengawasi penggunaan TikTok oleh murid untuk memastikan penggunaan yang bertanggungjawab dan sihat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram