Musibah hari pertama sekolah, sempat tahan kereta sebelum anak jiran diculik suspek OKU di Kuching


  • 112
  • Ahad, 17 Mac 2024

Polis menahan lelaki OKU yang cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan di Kuching, Sarawak.

CUBAAN seorang lelaki untuk melarikan seorang kanak-kanak perempuan digagalkan dalam kejadian di kawasan perumahan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 6.55 petang pada Khamis.

"Suspek berjaya ditangkap dalam cubaan hendak melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang ketika itu sedang bermain di luar rumahnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Ashmon, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna putih yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melarikan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

"Siasatan awal mendapati suspek pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran dan menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak, sejak 2001 untuk Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

"Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau," ujarnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah

2

Polis menahan suspek di kawasan perumahan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. — Facebook/Alan Lim

BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam

Ashmon turut memaklumkan, suspek didakwa di Mahkamah Kuching pada Jumaat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

"Mahkamah memerintahkan penahanan suspek di Hospital Sentosa Kuching untuk penilaian psikiatri," ujarnya.

Kejadian itu turut dikongsikan ibu bapa kanak-kanak berkenaan menerusi hantaran di Facebook pengendali akaun Alan Lim pada Sabtu.

Menurutnya, peristiwa mendebarkan yang berlaku pada hari pertama persekolahan pada 11 Mac lalu dan menjadi tarikh yang akan diingatinya sepanjang hidup.

Malah kongsi Alan, dia amat berterima kasih kepada jirannya yang sanggup membantu menyelamatkan anaknya, yang hanya dikenali sebagai Cherie daripada dilarikan suspek.

"Mereka mempertaruhkan nyawa untuk memberhentikan kereta suspek sehingga saya sampai.

"Saya berlari secepat mungkin dengan berkaki ayam untuk mendapatkan Cherie, hanya Tuhan yang tahu betapa cemasnya saya ketika itu," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram