Tambang bas ekspres ekonomi naik 10 peratus sempena Aidilfitri


  • Massa
  • Rabu, 13 Mac 2024

Kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi akan meningkat sebanyak 10 peratus mulai 4 hingga 17 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

KADAR tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi akan meningkat sebanyak 10 peratus mulai 4 hingga 17 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (SKM) ke atas kadar tambang semasa bas ekspres kategori berkenaan.

“Pelaksanaan surcaj ini akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa iaitu RM0.093 SKM (kenaikan 10 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

APAD dalam pada itu turut membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena musim perayaan.

Ujarnya lagi, permohonan tersebut terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac lalu hingga 2 April ini dengan tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan ialah dari 4 hingga 17 April.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Jakarta dikecam, TikToker Indonesia mula misi balas dendam 'serang' KL

An express bus driver  ready to leave  at Hentian Bus Jalan Duta.(13/1/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Semua pengendali bas diseru agar sentiasa memberi perkhidmatan berkualiti dan menjamin keselamatan pengguna.

BACA LAGI: [VIDEO] Belum sempat nak 'blow' rambut, 'hair dryer' tiba-tiba meletup sambar muka pelanggan

“Pengendali yang memohon LPS perlu mematuhi ketetapan syarat-syarat pengendali bas ekspres oleh APAD iaitu mematuhi polisi dan spesifikasi kelas lesen bas ekspres, dilengkapi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan had usia penggunaan tidak melebihi 10 tahun.

“Syarat lain termasuk terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja serta bagi bas ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan mendapat kelulusan Laporan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) VR1 Khas (Kod 9009) dibenarkan untuk memohon,” katanya.

Agensi itu menjelaskan, permohonan lengkap dan memenuhi syarat boleh dikemukakan secara fizikal di semua pejabat wilayah dan kaunter APAD di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semua pengendali bas juga diseru agar sentiasa memberi perkhidmatan berkualiti, menepati jadual tambang dan jadual perjalanan, menjamin keselamatan pengguna serta memastikan pemandu bas mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

“Ditegaskan bahawa sebarang pelanggaran syarat lesen yang ditetapkan boleh menyebabkan pengendali dikenakan tindakan berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Pihak APAD memohon kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat,” jelas kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram