SEBUAH helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan terhempas di perairan berdekatan Pulau Angsa, Klang, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Selasa.
Kesemua empat penumpang termasuk juruterbang helikopter jenis AW139 itu bagaimanapun difahamkan terselamat dalam kejadian tersebut.
Ketika insiden, helikopter berkenaan dipercayai sedang melakukan operasi pemantauan di perairan Klang. Dilaporkan, kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan bagi membantu mangsa terlibat.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah APMM, Datuk Hamid Mohd Amin mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, helikopter AW 139 dengan nombor pendaftaran pesawat M72-01 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor ketika melakukan latihan menyelamat.
BACA LAGI : Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan
BACA LAGI : Remaja hilang 8 hari lepas ambil gaji ditemukan mati dalam semak di Sabak Bernam
Hamid berkata, kesemua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 yang dikerahkan bagi menyelamatkan mangsa terbabit
"Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian. Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 10:15 pagi," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, helikopter terbabit diterbangkan Leftenan Komander Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander Mohamad Azrol Saidi.
Dua kru udara yang turut berada di dalam pesawat berkenaan ialah Pegawai Waran I, John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muhamad Nurhayyat Hashim.
Hamid berkata, Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca-punca kejadian.
Sebahagian anggota APMM yang berada di dalam helikopter terbabit selepas ia terhempas di perairan berdekatan Pulau Angsa, Klang pada Selasa. — Facebook
Dalam perkembangan sama, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis AW 139 dengan nombor pendaftaran M72-01 adalah milik Maritim Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi namun tiada panggilan kecemasan diterima.
Katanya, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter.
“Terdapat empat penumpang termasuk juruterbang berada dalam helikopter tersebut dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
“Kesemua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 10.58 pagi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram