[VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam


  • 112
  • Khamis, 29 Feb 2024

Mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh di kondominium tersebut oleh teman lelakinya pada Rabu.

PENDUDUK di sebuah kondominium dekat Setia Alam, Selangor trauma selepas melihat pergaduhan dipercayai melibatkan sepasang kekasih berakhir dengan tragedi ngeri pada Rabu.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan pengguna media sosial X (Twitter), @Malaysia24x, seorang lelaki didakwa menolak jatuh kekasihnya dari tingkat atas kondominium tersebut sehingga maut.

"Kes bunuh, teman lelaki tolak kekasih di T***l Setia Alam, Selangor.

"Teman wanita mati di tempat kejadian. Kejadian kedua di kondominium yang sama," ciapnya pada Khamis.

Kejadian itu bagaimanapun sempat dirakam oleh salah seorang penghuni kediaman tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit

BACA LAGI: Kini cuma tinggal Ayam Patah Kepak, Helang Menyusur Angin dan Getam Pekasam, ketahui jenis tengkolok kebanggaan warisan Kesultanan Perak

Melalui video yang dimuat naik, dipercayai berlaku pertengkaran melibatkan pasangan berkenaan sebelum mangsa disyaki ditolak ke bawah.

Lebih mengerikan, turut kedengaran suara wanita itu menjerit ketakutan sewaktu pertelingkahan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyatakan bahawa bunyi badan mangsa yang terhempas ke lantai mendatangkan trauma buat mereka.

"Kenapalah video ini keluar di Twitter sebelum saya tidur? Sekarang saya tak boleh lelap disebabkan bunyi jeritan itu," ciap Iamrafffffff.

"Tiada siapa ke yang boleh tolong perempuan itu waktu kejadian? Takutnya bila dengar mangsa menjerit," kata Amirakhanis.

WhatsApp Image 2024-02-29 at 08.17.58

Pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut kira-kira pukul 10.02 minit malam, Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut kira-kira pukul 10.02 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita warganegara Thailand, 32, dan tidak bekerja, manakala suspek yang juga teman lelakinya bekerja sebagai pemandu lori.

"Menurut saksi kejadian, dia terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek serta melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh di kondominium tersebut.

"Pada Rabu, pukul 10.10 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di tempat kejadian," katanya.

Mohd Iqbal berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.

Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis kanabis dan akan direman pada Khamis pukul 9 pagi di Mahkamah Shah Alam.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh yang tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 0122666025," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram