TRAGEDI menyayat hati melibatkan sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Selangor pada Selasa sehingga mengorbankan dua nyawa tidak dapat dilupakan, lagi-lagi oleh insan tersayang.
Dalam perkembangan terbaharu, rakan kepada salah seorang mangsa iaitu pembantu juruterbang yang terkorban ketika kejadian itu sempat berkongsi detik-detik terakhirnya dapat berkomunikasi bersama.
Menerusi hantaran di Facebooknya dengan menggunakan nama Navin, mangsa, Roshaan Singh Raina, 43, sempat memberitahunya tentang penerbangan solo yang akan dilakukan sebelum kejadian.
BACA LAGI : CAAM sahkan 2 mangsa terlibat nahas pesawat ringan terhempas, tak terima panggilan kecemasan
Pesawat yang dikendalikan Kelab Air Advanture Flying Club. — Facebook
Navin yang dipercayai rakan sekolah Roshaan itu juga mendakwa bahawa perkara tersebut diterimanya melalui mesej di dalam kumpulan sembang 'Primary School United' bersama kata-kata sokongan diberikan rakan lain.
Mangsa bagaimanapun dikatakan tidak memberi respons kepada mesej rakan lain sebelum satu mesej baharu dihantar Navin pada pukul 2.30 yang juga tidak dijawab.
"Sebelum tidur pada 1 pagi, saya berasa tidak senang dan melakukan pencarian 'nahas kapal terbang' di Google.
"Saya tidak tahu kenapa saya berbuat demikian dan saya kecewa selepas terjumpa beberapa artikel berhubung kejadian.
"Saya terkejut, tidak percaya, saya tidak dapat mengungkapkan kata-kata," katanya.
BACA LAGI : Dua korban nahas pesawat terhempas di Kapar asal Johor, Pulau Pinang
Pada masa sama, Navin memberitahu bahawa dia dan mendiang berkongsi pelbagai pengalaman sepanjang menjalinkan persahabatan sejak di bangku sekolah.
"Mendiang merupakan rakan sekelas semasa di sekolah rendah bersama seorang rakan lagi, Ranjiv digelar sebagai 'Three Musketeers of Woodlands Primary School Singapore'.
"Kami bertemu semula beberapa bulan yang lalu selepas bertahun-tahun lamanya dan ia merupakan pertemuan yang penuh emosi, berkongsi gambar, cerita dan pengalaman.
"Kami merancang untuk bertemu sekali lagi pada Mac dan berbasikal di sekitar Memorial Kranji, rumah lama Ranjiv, serta blok 162 lama di Woodlands, Singapura iaitu tempat saya pernah menginap dan hentian bas Malaysia berkumpul sebelum bertolak ke Tambak, Johor. Saya akan merindui kamu," katanya.
Mendiang Daniel Yee yang turut terkorban dalam kejadian.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian tersebut turut mengorbankan juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 yang menaiki pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor bagi penerbangan rekreasi.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan terbenam sedalam dua meter dari lokasi kejadian sebelum berjaya dikeluarkan pasukan keselamatan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.
Jasad Daniel dilaporkan dibawa ke Pulau Pinang manakala upacara ziarah dan penghormatan terakhir terhadap mendiang Roshan akan diadakan di rumahnya pada pukul 10 pagi sebelum dibawa ke krematorium di Jalan Kebun Teh, Johor pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram