Remaja hilang 8 hari lepas ambil gaji ditemukan mati dalam semak di Sabak Bernam


  • 112
  • Isnin, 04 Mac 2024

Mangsa (gambar kecil) ditemukan orang awam dalam parit berair di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Parit Changkat, Sungai Haji Dorani pada Ahad. — Facebook

MISTERI kehilangan remaja perempuan selepas keluar dari rumah untuk mengambil duit gaji terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam parit berair di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Parit Changkat, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor pada Ahad.

Mangsa berusia 17 tahun dilaporkan hilang selama lapan hari sebelum ditemukan kira-kira 30 meter dari motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai ditunggangnya di tempat kejadian

Difahamkan, seorang pengguna jalan raya yang melalui lokasi ternampak kenderaan itu lalu segera menghubungi bomba dan polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata, berdasarkan keterangan kes, ibu mangsa membuat laporan berhubung kehilangan anak perempuannya di Balai Polis Sungai Air Tawar, pukul 12.20 tengah malam 27 Februari lalu.

"Pengadu memaklumkan pada pukul 8.20 malam 25 Februari lalu, mangsa keluar dari rumah untuk mengambil duit gaji di kafe Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Air Tawar dengan menaiki motosikal kakaknya.

"Kali terakhir ibu mangsa menghubungi anaknya pada pukul 3 pagi dan dia tidak memaklumkan keberadaannya. Kemudian mangsa dihubungi sekali lagi namun gagal," katanya.

BACA LAGI : Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan

430996257_937966661251302_7773416053716662165_n

Keadaan motosikal mangsa yang ditemui orang awam. — Facebook

BACA LAGI : [VIDEO] Ayah meraung lihat jenazah anak kejung atas jalan lepas bertembung lori simen di Senai

Agus Salim berkata, hasil siasatan mendapati remaja perempuan itu dari arah Sekinchan ke Sabak Bernam.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas lalu terjunam dalam parit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Agus Salim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular di laman Facebook memaklumkan kehilangan remaja perempuan itu dengan rata-rata netizen mendoakan keselamatan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram