[VIDEO] Juruterbang maut terlibat nahas pesawat ringan Gabriel BK160TR dilantik bagi tujuan promosi — MOT


  • Primer
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Keadaan pesawat ringan yang terhempas di kebun kelapa sawit Kampung Tok Muda Kapar Klang, Selangor kira-kira pukul 1.10 petang Selasa lalu.

JURUTERBANG yang terlibat dalam kemalangan udara pesawat Gabriel BK160TR yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor dilantik bagi tujuan mempromosikan pesawat itu kepada pelanggan-pelanggan di Malaysia.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan siasatan awal, pesawat yang memiliki tanda pendaftaran I-POOC adalah milik Blackshape S.p.A yang merupakan sebuah syarikat Itali.

"Semetara itu, Sky Media Ltd pula merupakan sebuah syarikat Hong Kong yang bertindak sebagai pengedar pesawat bagi pihak Blackshape S.p.A untuk rantau Asia Tenggara.

"Sky Media Ltd telah melantik Aviation Safety Technology Pte Ltd (AST), sebuah syarikat Singapura, untuk perkhidmatan pemasaran bagi pesawat Gabriel BK160TR.

"AST kemudian melantik juruterbang yang terlibat dalam kemalangan tersebut untuk mengendalikan pesawat Gabriel BK160TR (pendaftaran IPOOC) bagi tujuan promosi," katanya.

Tambah kenyataan itu, pada waktu kemalangan, pesawat Gabriel BK160TR tersebut mempunyai persijilan kelayakan terbang (airworthiness certification) yang sah di bawah European Union Aviation Safety Agency (EASA)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI : CAAM sahkan 2 mangsa terlibat nahas pesawat ringan terhempas, tak terima panggilan kecemasan

BACA LAGI : [VIDEO] Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda

Tambahnya lagi, laporan awal nahas pesawat ringan itu akan disediakan dalam tempoh 30 hari.

Langkah itu selaras dengan ketetapan digariskan Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (Annex 13 ICAO).

Jelasnya, laporan penuh pula akan disiapkan selewat-lewatnya 12 bulan daripada insiden tersebut.

“Susulan daripada kemalangan udara itu, siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 telah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan mulai tarikh kejadian.

"Penyiasatan akan diteruskan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan sama di masa hadapan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram