KEGEMBIRAAN sebuah keluarga meraikan majlis perkahwinan bertukar tangisan selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Lumat, Beaufort, Sabah pada Sabtu.
Nahas membabitkan dua kenderaan itu mengakibatkan mangsa, Jeliha Echek, 46, yang memandu Perodua Kembara disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam main game, 3 maut kena tembak bertubi-tubi di laluan karpet merah
Menurutnya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Kembara.
“Pemandu Perodua Kembara tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Pemandu kenderaan Perodua Kembara tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia. — Bomba
Jelas beliau, empat lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hanya cedera ringan.
Lebih memilukan, mangsa yang maut dipercayai baru sahaja menyambut hari perkahwinan anaknya pada Jumaat lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram