SEORANG penduduk di kawasan sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur meluahkan ketidakpuasan hatinya apabila terpaksa berdepan masalah pencemaran bunyi daripada sebuah tapak pembinaan.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan tersebut dijalankan di hadapan Sekolah Antarabangsa Tzu Chi sehingga melepasi pukul 1 pagi.
Kejadian itu dirakam oleh penduduk berkenaan sebelum dikongsikan menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) dengan nama pengguna @khxrvl pada Sabtu.
Pembinaan tersebut dipercayai tidak mengikut waktu prosedur yang ditetapkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Melalui klip berdurasi 21 saat itu, individu berkenaan turut merakam aktiviti pembinaan tapak pembinaan itu, namun tidak dapat dipastikan jenis projek yang sedang dijalankan.
BACA LAGI: Saya tak sanggup tengok video anak diikat, kena pukul — Bapa
Dia dalam pada itu turut menggesa DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan ke atas pihak berkaitan.
"Hai DBKL, adakah sebarang aktiviti pembinaan dibenarkan sehingga pukul 1.40 pagi?
"Lokasi, di hadapan Sekolah Antarabangsa Tzu Chi.
"Panggilan sudah dibuat ke Balai Polis Bukit Jalil, tapi belum ada (sebarang) tindakan (diambil)," ciapnya.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram