[VIDEO] 'Pergi balai RM300, bayar sini RM100', PDRM siasat anggota trafik bagi pasangan UK pilih bayar saman


  • 112
  • Ahad, 28 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan ketika pasangan tersebut disaman oleh anggota terbabit baru-baru ini.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sebuah video tular di media sosial sejak Ahad berhubung isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap warga asing baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika ditahan.

Azman dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit.

BACA LAGI : Saman JPJ di Selangor meningkat 32 peratus

BACA LAGI : Polis saman pemandu 'buat pekak' tak hirau siren bomba di Kulim

Sebelum ini, video yang memaparkan pasangan suami isteri berasal dari United Kingdom disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju, dimuat naik di Twitter (X) @doktorrezz dan kini menjadi bualan hangat netizen.

Dalam video itu, seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik memberitahu pasangan terbabit bahawa terdapat dua pilihan untuk membayar saman yang dikenakan.

"Bayar di balai polis atau bayar di sini? Jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100," kata polis berkenaan.

Disebabkan perbezaan jumlah bayaran yang besar itu, pasangan berkenaan membuat keputusan membayar sebanyak RM100 kepada anggota tersebut pada waktu sama di lokasinya ditahan.

Bagaimanapun, lokasi dan tarikh kejadian itu masih belum dapat dipastikan lagi.

Namun, menerusi ciapan pemilik akaun itu, dia mempersoalkan tentang pilihan yang dikatakan tidak pernah tahu jika ia wujud dan terpakai kepada semua orang.

Susulan video itu, rata-rata warganet juga memberikan reaksi pelik dan ada juga yang mendakwa bahawa anggota tersebut melakukan jenayah rasuah.

"Mohon PDRM siasat. Dari gaya bersahaja dia minta, sangat tak mustahil ramai yang dapat tawaran begitu," komen @awie_harriz.

Sehingga kini, tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung dakwaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram