TULAR satu video memaparkan orang awam berada dalam keadaan panik apabila seorang wanita bertindak memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan dia merempuh beberapa kenderaan lain.
Kejadian tersebut berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) kenderaan yang berada di lokasi kejadian sebelum dimuat naik di laman Facebook pada Sabtu.
Kereta jenis Proton Saga tersebut dipercayai dipandu oleh seorang wanita pertengahan umur.
Insiden itu difahamkan berlaku pada Jumaat kira-kira pukul 9.47 pagi, namun lokasi sebenar kejadian belum dapat dipastikan.
Klip berdurasi seminit 55 saat itu pada awalnya menunjukkan pemandu Proton Saga berkenaan memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah premis.
Sewaktu penumpang di bahagian hadapan membuka pintunya, kereta itu secara tiba-tiba mengundur ke belakang dalam keadaan pintu masih terbuka.
Kenderaan itu dilihat dipandu secara melulu ke depan dan ke belakang sehingga melanggar beberapa kereta lain yang diparkir di sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berpendapat bahawa tindakan itu dibuat disebabkan pemandu berkenaan berada dalam keadaan panik.
"Sebab itu dalam kursus pemanduan berhemah ditekankan kepada pemandu untuk menarik brek tangan terlebih dahulu ketika berhenti sebelum meneutralkan gear untuk mengelak daripada berlaku situasi seperti ini.
"Sentiasa belajar dan awasi persekitaran anda sebab bahaya ada di mana-mana. Ikuti kelas pemanduan sehingga tamat latihan agar anda menjadi pemandu yang terlatih dan mahir," tulis Azhar Damsaki.
"Nampak macam dia tersilap masuk reverse gear dan tak tarik handbrake...dia tertekan pedal minyak lah tu dan terlajak. Mungkin dia panik tu," kata Hajarmerot. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram