[VIDEO] Pembantu kedai separuh nyawa parah terbaring di kaki lima, polis tahan suspek, rampas senjata di Sibu Jaya


  • 112
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Mangsa dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kawasan kaki lima kedai oleh orang awam. — Sibu Sarawak Page

SEORANG lelaki yang disyaki membunuh seorang wanita dengan menikamnya menggunakan pisau di Pusat Komersil Sibu Jaya, Sibu, Sarawak pada Jumaat berjaya diberkas pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 28 tahun itu berjaya dicekup pada pukul 9.20 malam hari yang sama.

“Polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek sebagai barang kes,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, polis menerima laporan mengenai kejadian seorang wanita berusia 24 tahun dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kawasan kaki lima kedai oleh orang awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil

“Semasa dijumpai, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai berada dalam keadaan separuh sedar sambil memegang bahagian perutnya yang cedera parah dipercayai ditikam dengan objek tajam.

“Orang awam kemudian menghubungi ambulans sebelum dia dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut,” tambahnya lagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil

Beliau berkata, suami mangsa bagaimanapun memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sibu kira-kira pukul 11.30 malam.

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian manakala motif kes juga belum dikenal pasti,” jelasnya.

Lebih memilukan apabila mangsa meninggalkan seorang cahaya mata yang masih kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram