[VIDEO] Makin ramai rakyat Malaysia melancong ke Thailand jika 3 perubahan asas tidak dibuat


  • Massa
  • Ahad, 25 Feb 2024

Rakyat akan memilih Hatyai sebagai destinasi utama untuk melancong ekoran daripada kos yang lebih murah berbanding negara sendiri.

BARU-BARU ini, kita didedahkan dengan laporan mengenai peningkatan jumlah pelawat Malaysia yang berkunjung ke bandar raya di selatan Thailand, Hatyai sempena musim cuti persekolahan penghujung tahun lalu.

Bandar raya yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia itu dilaporkan menerima purata 20,000 pelawat Malaysia pada setiap hujung minggu musim Krismas dan Tahun Baharu.

Perkembangan itu sekali gus menyumbang lebih 2 bilion baht atau kira-kira RM250 juta kepada ekonomi negara tersebut dalam tempoh dua minggu sebelum tahun berakhir.

Tidak dapat dinafikan, antara daya tarikan utama Hatyai adalah terletak pada variasi makanan yang dihidangkan.

Selain pilihan makanan enak, akses yang mudah dan pilihan penginapan pada harga berpatutan juga menjadi antara daya penarik.

Menurut perkongsian Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai, Sitthipong Sitthiprapha, lokasi percutian itu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi pelancong yang mahukan percutian menarik dan mesra bajet.

Pada hari biasa sepanjang tahun, beliau berkata, Hatyai pada kebiasaannya menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

Apabila melihat pada situasi tersebut, sudah pasti rakyat Malaysia akan memilih Hatyai sebagai destinasi utama untuk melancong ekoran daripada kos yang lebih murah berbanding negara sendiri.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan keadaan itu berlanjutan dan menjadi lebih parah, seorang pengguna media sosial menerusi laman X (Twitter) @safiyakhtar mencadangkan beberapa idea yang boleh digunakan oleh kerajaan dan pihak berkaitan bagi menggalakkan rakyat melancong di Malaysia, sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Pembantu kedai separuh nyawa parah terbaring di kaki lima, polis tahan suspek, rampas senjata di Sibu Jaya

BACA LAGI: [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil

1) Harga makanan perlu lebih murah

Rasanya semua setuju bahawa rakyat Malaysia dan makanan memang tidak boleh dipisahkan.

Malah, budaya food hunting juga sudah menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tetapi melihatkan harga 'kayangan' bagi makanan yang dijual di kebanyakan restoran yang terletak di kawasan tumpuan pelancongan, ada kalanya ia boleh membantutkan niat orang ramai untuk melancong di Malaysia.

Agak menimbulkan persoalan mengapa harga makanan di kawasan biasa lebih murah berbanding lokasi pelancongan?

Misalnya, hidangan makanan laut di Malaysia pastinya akan mencecah ratusan ringgit untuk satu keluarga.

Sedangkan di Hatyai, tidak sampai RM100 pun, meskipun baht lagi tinggi berbanding Ringgit Malaysia (RM), tetapi macam mana ia boleh jadi terlalu mahal?

Justeru, restoran di kawasan pelancongan disarankan untuk tidak mengaut keuntungan melangkaui batasan yang sepatutnya.

Bukan satu atau dua tempat kita dijajakan cerita mengenai harga makanan yang keterlaluan mahal di sesebuah kawasan pelancongan.

Pengusaha perlulah berpada-pada dalam menetapkan harga tersebut supaya dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan.

hatyai1

Hatyai menerima purata 20,000 pelawat Malaysia pada setiap hujung minggu musim Krismas dan Tahun Baharu.

2) Teliti semula kadar penginapan hotel

Hotel di Hatyai sentiasa menerima tempahan ramai daripada rakyat Malaysia terutama pada musim cuti.

Ia disebabkan harga hotel di lokasi itu dikatakan jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

Bukan sahaja murah, kemudahan disediakan juga berpatutan dengan harga yang dibayar.

Malah, dekorasi penginapannya juga cantik dan selesa berbanding segelintir hotel di Malaysia yang dikatakan agak kurang dari segi kemudahannya.

Jika dibandingkan dengan saiz bilik hotel tersebut, ia jauh lebih besar dan sesuai jika melancong dalam kumpulan yang ramai.

Oleh itu, pemain industri pelancongan di negara ini digalakkan untuk mencontohi inisiatif yang dilakukan penggiat hotel di Thailand dalam menarik lebih ramai pengunjung.

+++ MAIN PIX ++++ The 'Orientalist Paintings: Mirror Or Mirage?' exhibition at the Islamic Arts Museum Malaysia in Kuala Lumpur features over 110 paintings spread across two galleries. - AZLINA ABDULLAH/The Star

Malaysia kaya dengan khazanah sejarah, budaya dan pelbagai lagi yang mempunyai tarikan tersendiri.

3) Membaik pulih kawasan dan bangunan bersejarah

Negara kita sememangnya kaya dengan khazanah sejarah, budaya dan pelbagai lagi yang mempunyai tarikan tersendiri.

Namun kita dilihat kurang menghargai lokasi bersejarah yang terdapat dalam negara.

Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur.

Bangunan tersebut memiliki begitu banyak sejarah, namun mengapa sehingga kini ia hanya berfungsi sebagai pejabat dan panggung teater semata-mata?

Ia sebenarnya boleh juga ditambah baik menjadi sebuah muzium yang menceritakan sejarah dan keunikan pembangunannya.

Dalam masa sama, ada segelintir pihak yang berpandangan bahawa Muzium Negara semakin kurang daya tarikan.

Untuk rekod, Muzium Negara menduduki tangga ke-314 kedudukan muzium dunia, Malaysia kalah kepada negara seperti Filipina, Kemboja dan Singapura.

Malaysia memiliki banyak sejarah, namun mungkin cara ia diterjemahkan boleh lebih bersifat interaktif dan disesuaikan dengan minat generasi masa kini serta mengikut peredaran semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram