SEORANG lelaki ditemukan lemas di bawah Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 4.50 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tersebut.
"Sejurus tiba di lokasi, mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap memakai baju-T dan berseluar sukan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.
Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Kelaboran untuk bedah siasat dan hasil mendapati kematian mangsa berpunca daripada lemas.
BACA LAGI: Selain parkir bertingkat, KKM boleh buat 2 lagi cara atasi isu letak kenderaan terhad
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, ahli keluarga mangsa turut memberitahu bahawa mangsa yang dikenali sebagai Faizal, 39, sempat bersalaman dengan ibunya dan memohon maaf.
Malah, Faizal yang mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental turut melepaskan dua burung peliharaannya sebelum keluar rumah.
"Ibunya bertanya mengapa melepaskan burung dan arwah menjawab selepas ini sudah tiada siapa lagi yang akan membelanya.
"Memang tak sangka semua perlakuan itu adalah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya.
Individu tersebut bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada mangsa terjatuh atau terjun ke dalam sungai kerana ketika kejadian, motosikal milik mangsa berada di atas jambatan berkenaan.
Kongsinya lagi, sebelum keluar rumah, Faizal sudah siap menguruskan bapanya yang uzur termasuk menyiapkan makanan tanpa disuruh seperti kebiasaan.
"Faizal sudah lama menghidap penyakit mental dan hidupnya bergantung kepada ubat.
"Dia juga kerap lupa namun beberapa hari kebelakangan ini, Faizal banyak menunjukkan perubahan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram