TULAR satu video memaparkan sekumpulan penjaja gerai makanan bergaduh sesama sendiri di Pulau Pinang baru-baru ini.
Video tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian, namun tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar insiden itu berlaku.
Melalui video yang dimuat naik di laman media sosial X (Twitter) pada Jumaat, seorang lelaki berbaju biru dilihat bertindak menumbuk beberapa orang pekerja premis berkenaan.
"Pergaduhan berlaku antara penjaja," ciap pentadbir laman X tersebut.
Menerusi klip berdurasi seminit lebih itu, lelaki berbaju biru itu turut dilihat menendang seorang wanita sehingga terjatuh.
Situasi tersebut menjadi semakin panas apabila rakan wanita berkenaan mula masuk campur sebelum bertindak memukul lelaki itu.
Lebih menambah kekalutan, salah seorang daripada mereka turut mengambil sebuah kerusi plastik dan cuba memukulnya.
Punca sebenar pergaduhan itu tercetus masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram