[VIDEO] Kes maut dipukul, diikat orang awam, polis sahkan mangsa positif dadah


  • 112
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Tangkap layar seorang lelaki maut akibat didakwa dipukul sekumpulan lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

POLIS mengesahkan lelaki yang dipukul sehingga maut semasa kemalangan di Taman Pelangi Dua dekat Kajang, Selangor pada Selasa lalu, positif dua jenis dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, hasil bedah siasat dilakukan terhadap mangsa, lelaki berusia 42 tahun itu disahkan positif dadah jenis methamphemin dan ganja.

"Dia juga merupakan orang dikehendaki pihak polis dan turut mempunyai 10 kes lampau melibatkan kesalahan dadah," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

Susulan kes itu juga, Hussein berkata, pihaknya menahan dua lagi individu masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang pada Khamis yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Akan ada lagi suspek dijangka akan ditahan, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya.

BACA LAGI : Saya tak sanggup tengok video anak diikat, kena pukul — Bapa

BACA LAGI : : [VIDEO] Lelaki diikat kena belasah sampai mati lepas langgar pagar rumah di Kajang, 5 suspek dicekup polis

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian itu selepas hasil bedah siasat dilakukan mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.

Tambah Hussein, orang ramai yang menjadi saksi kejadian diminta untuk supaya tampil membantu siasatan.

“Kita akan melihat penulisan orang ramai di media sosial berkaitan kes itu sekiranya boleh dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak menokok tambah serta mengada-adakan cerita berkaitan kes ini.

“Ini kerana ia akan memberi kesan kepada siasatan dilakukan pihak polis serta mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram