SEORANG lelaki bersama anak perempuannya berdepan dengan detik cemas selepas Perodua Bezza yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Bukit Changgang dekat Sepang, Selangor pada Ahad.
Video kejadian itu turut dirakam oleh orang awam dan dimuat naik ke dalam media sosial pada hari yang sama.
Melalui maklumat yang dikongsikan, insiden itu berlaku di persimpangan lampu isyarat menghala ke Langat Murni, Bukit Changgang.
Melalui video yang dikongsikan keadaan kedua-dua kenderaan terbabit remuk teruk dan lori tersebut berada dalam keadaan terbalik.
Pemandu lori yang cedera juga dilihat duduk berhampiran dengan kenderaan berat miliknya.
Orang awam juga menggerumuni tempat kejadian dan cuba memberi bantuan awal terhadap dua beranak yang tersepit di dalam Perodua Bezza.
BACA LAGI: Belum terima laporan forensik, kes bunuh Bella ditetapkan 11 Mac depan
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 3 jam hilang, abang temui mayat Nurul Farisya lemas di sungai Kuala Krai
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.06 petang Ahad.
“Sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan Perodua Bezza dan sebuah lori lima tan.
“Terdapat seorang lelaki berusia 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tersepit di dalam Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa.
“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram