[VIDEO] Polis Sarawak kerah unit D7, D9 buru anak-anak buah Man Botak-Najib Puntong 'berperang' di Jalan Batu Kawa


  • 112
  • Khamis, 22 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki dilihat mengusung beberapa bilah senjata tajam dipercayai untuk digunakan dalam insiden tersebut.

POLIS kini sedang memburu individu yang terdapat di dalam video pertengkaran di tempat letak kereta di Jalan Batu Kawa dekat Kuching, Sarawak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, turut membantu mengesan dan menangkap kesemua individu terbabit ialah Unit D7 dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Katanya, polis telah mengenal pasti beberapa individu dan percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Setakat ini (Rabu), polis IPD Padawan tiada menerima laporan berkaitan insiden tersebut, namun Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah membuat aduan rasmi bagi tujuan siasatan.

"Susulan itu juga, pihak polis telah berjaya mengenal pasti beberapa individu terlibat dan percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Siap pikul parang keluar dari kereta, tular video dipercayai geng kongsi gelap bergaduh di Sarawak

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Mykad, minta tunjuk aplikasi MySejahtera elak pelancong Indonesia ambil kesempatan beli tiket murah

Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan membawa senjata berjadual di tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Terdahulu, Majoriti melaporkan dua kumpulan kongsi gelap bergaduh di kawasan meletak kenderaan di kawasan tersebut sehingga mencetuskan kegusaran awam.

Menurut pemilik asal video berkenaan, Su Hato mendakwa pergaduhan itu melibatkan dua ahli kongsi gelap di kawasan tersebut.

Zaman sekarang semakin menjadi-jadi. Terang-terangan membawa senjata tajam

"Geng orang kuat Matang Boy semua. Man Botak dan Najib Puntong.

"Kenapa pihak berkuasa tidak ambil tindakan?" tulisnya.

Invidu tersebut turut memuat naik tiga video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata tajam.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram