[VIDEO] ‘Ingatkan Manny Pacquiao’, suami owner cuba tenangkan wanita menggelabah lepas curi barang mekap di Kelantan


  • Tular
  • Khamis, 22 Feb 2024

Tangkap layar video suami Mardhiah (kiri) menangkap seorang wanita (kanan) yang cuba mencuri barangan kosmetik di kedai miliknya pada Rabu.

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, itulah peribahasa yang paling sesuai bagi menggambarkan tindakan seorang wanita yang ditangkap mencuri di sebuah kedai kosmetik di Kelantan apabila berjaya dihidu pemilik kedai berkenaan.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di sekitar Kota Bharu pada Rabu dan ia bukanlah kejadian pertama melibatkan wanita tersebut.

Menurut pemilik kedai barangan kosmetik berkenaan yang dikenali sebagai Mardhiah Dzulkarnain, dia memuat naik video kejadian untuk dijadikan pengajaran buat orang awam.

"Saya muat naik video ini untuk dijadikan pengajaran buat semua termasuk peniaga yang lain supaya waspada dengan wanita itu.

"Ini bukan kali pertama terjadi melibatkan perempuan (pencuri) tersebut dan ada beberapa orang bagitahu saya, wanita itu pernah mencuri di beberapa kedai di sekitar bandar ini.

"Sudah tak boleh bagi muka dah, dia yang pilih nak malukan diri sendiri. Berani buat, berani tanggung," tulisnya melalui satu hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Melalui video yang dikongsikan, kelihatan seorang lelaki yang juga suami kepada pemilik kedai kosmetik berkenaan cuba menenangkan pencuri tersebut selepas dia cuba melarikan diri.

Dakwa Mardhiah, wanita itu tidak datang bersendirian dan ada seorang lelaki yang menunggunya di luar.

"Dekat luar dan dalam kedai ini, ada 16 kamera litar tertutup (CCTV), memang boleh nampak setiap sudut. Berani dia nak curi.

"Modus operandi, lelaki tunggu di luar dan dia masuk dalam kedai.

"Malas nak panjangkan cerita, kita serah kepada pihak polis terus," jelasnya.

Video tersebut turut tular di platform media sosial yang lain dan menjadi bualan ramai.

Seorang pengguna warga maya, NoorAkmal meninggalkan komen lucu dan menyangka suami kepada Mardhiah tidak ubah seperti peninju legenda Filipina, Manny Pacquiao.

"Sampai Manny Pacquiao turun nak selesaikan kes curi," tulisnya dengan meninggalkan emoji ketawa.

Sementara itu Wan Siti Haisyah bersetuju dengan tindakan Mardhiah memuat naik video berkenaan.

"Kalau curi makanan boleh kata tersesak dan lapar. Kita boleh lagi belas kasihan tetapi kalau mencuri produk kecantikan, memang patut viral (tular) dan serah kepada polis," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram