Guna IC palsu selama 29 tahun, guru lelaki dipenjara, denda RM6,000 di Tenom


Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu sejak 29 tahun lalu. — The Star

SEORANG guru di daerah Tenom, Sabah mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu sejak 29 tahun lalu.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 atas kesalahan itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dekat Mahkamah Majistret Keningau, Sabah pada Khamis.

Ridal Abdul Kadir, 54, yang memegang pas kediaman sementara didakwa menggunakan kad pengenalan palsu yang membolehkannya memohon sebagai guru ganti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom pada 1994.

Dia kemudiannya dilantik sebagai kakitangan SMK Kemabong dengan kad pengenalan palsu dimilikinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bergaduh sesama rakan sekelas, guru parah terkena kerusi 'terbang' ketika mengajar

Mengikut fakta kes, Ridal memiliki kad pengenalan sementara yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara, berstatus sebagai pemastautin sementara.

Tertuduh kemudiannya memperoleh kad pengenalan palsu yang mengiktirafnya sebagai warganegara Malaysia.

Terdahulu, JPN menjalankan pemeriksaan terhadap dokumennya di tempat letak kereta kuarters pekerja SMK Kemabong kira-kira pukul 11.30 pagi pada 29 Januari lalu selepas menerima aduan mengenai perkara tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sukar terima hakikat markah 'exam' teruk, murid sempat tanya khabar sebelum tetak guru madrasah

Ridal kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut susulan daripada pemeriksaan itu.

Hasil perbicaraan kes di mahkamah, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh tangkapan dengan denda RM6,000 yang kemudiannya dibayar.

Semasa mitigasi, peguam bela, Korventt Wheezar memohon hukuman ringan untuk Ridal dan denda yang berpatutan selepas Ridal mengaku salah dan menyesal atas perbuatannya. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram