Tengku Zafrul kongsi pengalaman kendali MOF ketika pandemik dalam buku


  • Primer
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Tengku Zafrul (kiri) ketika majlis pelancaran buku Mengharung Badai Ekonomi: Mengemudi Bahtera Menelusuri Gelombang Covid-19 di Kelab Golf Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan buku ‘Mengharung Badai Ekonomi: Mengemudi Bahtera Menelusuri Gelombang Covid-19' pada Jumaat yang menceritakan pengalaman beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan ketika pandemik melanda dunia.

Naskah setebal 245 muka surat versi Bahasa Melayu itu menzahirkan penghargaan terhadap jasa petugas barisan hadapan ekonomi negara ketika berdepan dengan pandemik.

Katanya, apabila bercerita tentang frontliner, mesti yang terlintas di fikiran masyarakat ialah petugas keselamatan dan kesihatan tetapi sebenarnya tidak terhad kepada mereka sahaja.

"Frontliner ini sendiri melibatkan banyak pihak dan ada yang bekerja di belakang tadbir.

"MITI juga merupakan frontliner yang banyak membantu rakyat ketika Covid-19," katanya pada majlis pelancaran buku tersebut bertempat di The International Gallery, KLGCC, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau yang juga merupakan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, buku yang diterbitkan itu juga menceritakan bagaimana Kementerian Kewangan pada waktu itu membantu rakyat ketika mengharungi Covid-19.

"Cabaran yang dihadapi pada zaman Covid-19 ialah aliran tunai, jadi MOF melancarkan pelbagai program untuk membantu pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Seperti yang anda tahu, kerajaan juga memberikan moratorium untuk membantu rakyat dan Malaysia adalah satu-satunya negara yang yang membuat moratorium selama enam bulan ketika pandemik," jelas beliau.

Tengku Zafrul turut mengharapkan karya sulung beliau terbitan MPH Group Publishing Berhad itu dapat memberikan manfaat dan dijadikan rujukan sekiranya pandemik berlaku sekali lagi.

"Saya harap buku ini boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan sekiranya berlaku lagi musibah.

"Seperti yang kita tahu pada ketika itu, kita tidak ada panduan dan kerajaan memberikan yang terbaik untuk membantu rakyat.

"Ia boleh dijadikan sebagai guidelines dan pembaca boleh membaca sendiri cabaran yang dihadapi oleh semua petugas barisan hadapan," katanya.

Buku itu sudah mula dijual di rangkaian kedai buku MPH bermula Jumaat. Buku tersebut boleh didapatkan secara dalam talian melalui laman web MPH. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram