[VIDEO] Sukar terima hakikat markah 'exam' teruk, murid sempat tanya khabar sebelum tetak guru madrasah


  • Benua
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tangkap layar kejadian seorang guru ditetak muridnya di Madrasah Aliyah Yasua Demak, Indonesia pada Isnin.

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan markah ujian semester yang diberikan, seorang pelajar dipercayai sanggup menetak guru kelasnya menggunakan sabit.

Guru malang tersebut, Fathkur yang mengajar di Madrasah Aliyah Yasua Demak, Indonesia ditetak muridnya sekitar pukul 9.30 pagi Isnin.

Selepas menetak guru tersebut, murid itu membuang barang bukti yang terdapat dalam kelas dan melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Kejadian itu berlaku sewaktu Fathkur sedang menjadi penyelia bagi ujian pertengahan semester di sekolah berkenaan.

Akibat kejadian tersebut, guru itu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital di Semarang.

Sementara itu, Polis Demak, Asisten Komisioner Winardi tampil mengesahkan kejadian itu.

“Memang ada tikaman,” katanya.

Jelasnya, pihak polis ketika ini masih belum mengetahui lokasi sebenar suspek.

“Buat masa ini kita masih mengejar suspek kerana dia sudah masih melarikan diri,” ujar Winardi.

Menurutnya lagi, murid itu agak beremosi dan tidak dapat menerima keputusan peperiksaannya yang dikatakan teruk.

"(Suspek) tidak boleh menerima grednya setelah keputusan ujian diedarkan,” jelasnya.

Suasana Madrasah Aliyah Yasua Demak selepas kejadian murid menetak gurunya pada Isnin. — Agensi

Sementara itu, menceritakan kejadian tersebut, guru besar sekolah berkenaan, Masrukin memberitahu, suspek secara tiba-tiba datang dengan menaiki motosikal dan meluru masuk ke dalam bilik darjah.

Sebelum masuk ke dalam bilik tersebut, suspek sempat bertanya khabar terlebih dahulu, sebelum menetak guru itu menggunakan sabit yang disembunyikan di belakang punggungnya.

“Cikgu (mangsa) sedang duduk di meja sambil mengawasi pelajar yang sedang membuat ujian, tiba-tiba suspek datang dan masuk ke dalam kelas

"Pelajar (suspek) sempat bertanya khabar terlebih dahulu sebelum menetak guru tersebut,” jelasnya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram