[VIDEO] Boleh ke pemilik IC merah miliki tanah di Malaysia?


  • Massa
  • Selasa, 20 Feb 2024

Kerajaan kini menggalakkan warga asing untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka. — Gambar hiasan

BARU-BARU ini kecoh di media sosial mengenai pertelingkahan melibatkan isu pemilikan tanah antara warga asing dengan penduduk tempatan.

Ia susulan laporan Majoriti pada Isnin apabila seorang lelaki dipercayai warga Pakistan bertindak mengusir penduduk di sebuah perkampungan dekat Beaufort, Sabah.

Tindakan tersebut dibuat atas alasan dirinya telah pun membeli sebidang tanah di kampung berkenaan.

Menerusi klip berdurasi 29 saat itu, warga Pakistan tersebut dilihat bertikam lidah dengan beberapa penduduk kampung sambil mengeluarkan helaian kertas.

Kertas tersebut dipercayai bukti yang menjelaskan tentang hak pemilikan tanah tersebut.

Rentetan video tular itu, terdapat segelintir pihak mempersoalkan sama ada individu dengan status bukan warganegara mempunyai hak untuk membeli hartanah atas nama sendiri.

Menurut laman web perbandingan pinjaman utama Malaysia, Loanstreet.com.my, kerajaan kini menggalakkan warga asing untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka, sama ada untuk tempoh jangka panjang, pencen, ataupun tujuan pelaburan.

BACA LAGI: Membimbangkan, kes jenayah babitkan gelandangan tempatan dan warga asing di KL meningkat

BACA LAGI: [VIDEO] Buat Penang macam Dhaka, warga asing selamba jadi rider tengah highway sibuk

Jelasnya, pemilikan asing hartanah adalah terbuka dengan warga asing dibenarkan untuk memiliki sehingga 100 peratus daripada hartanah tersebut di Malaysia selagi keperluan minimum dipenuhi.

Berdasarkan undang-undang, warga asing boleh memiliki apa jua jenis hartanah kecuali hartanah yang bernilai kurang RM1 juta.

Mereka juga tidak boleh memiliki unit residen kos rendah dan sederhana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, hartanah yang berada di atas Tanah Rizab Melayu atau hartanah yang diagihkan kepada bumiputera di mana-mana projek pembangunan hartanah seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa juga tidak berhak dimiliki oleh warga asing," maklumnya.

Justeru, golongan warga asing juga boleh memiliki banglo, rumah teres, kondominium, flat, rumah dengan laman, hartanah komersil, hartanah perindustrian, tanah pertanian (kecuali Tanah Rizab Melayu) dan tanah perindustrian (kecuali Tanah Rizab Melayu).

Dalam pada itu, laman web tersebut turut memberitahu, secara amnya, semua jenis hartanah di setiap negeri dikenakan nilai minimum sebanyak RM1 juta.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan masih mempunyai hak untuk meminda nilai minimum di setiap negeri kawalan mereka.

Warga asing boleh memiliki banglo, rumah teres, kondominium, flat, rumah dengan laman, hartanah komersil, hartanah perindustrian, tanah pertanian. — Gambar hiasan

Untuk makluman, Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang diperkenalkan kerajaan berupaya membantu warga asing untuk membeli hartanah pada harga yang lebih rendah.

Program tersebut merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi golongan warga asing yang berhasrat untuk menetap di Malaysia buat tempoh yang lama (visa 10 tahun).

"Sebilangan besar warga asing yang pernah bekerja di Malaysia telah memohon program ini bagi persaraan mereka di Malaysia.

"Sebelum memohon, warga asing bawah 50 tahun dikehendaki menyediakan simpanan sekurang-kurangnya RM500,000 dalam Akaun Simpanan/Akaun Semasa/Fixed Deposit manakala mereka yang lebih daripada 50 tahun perlu ada sekurang-kurangnya RM350,000 dalam akaun-akaun yang sama.

"Meskipun dengan keperluan yang agak tinggi ini, satu kelebihan yang ketara adalah MM2H memberikan warga asing hartanah dengan nilai yang lebih rendah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram