SUSPEK lelaki warga asing yang disyaki memukul dan menyamun seorang wanita di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu akhirnya diberkas polis pada Ahad.
Suspek berusia 29 tahun itu berjaya ditahan pada pukul 2.30 pagi.
Mangsa yang juga pekerja sebuah bank berusia 50 tahun dipukul dan disamun berdekatan sebuah hotel kira-kira pukul 6.30 pagi pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris memaklumkan, mangsa mengalami kecederaan di kepala setelah dipukul menggunakan kayu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sewaktu kejadian mangsa sedang berjalan kaki untuk pergi ke tempat kerja.
"Mangsa bagaimanapun tiba-tiba didatangi seorang lelaki sebelum dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.
“Mangsa cuba mempertahankan diri namun suspek bertindak memukulnya beberapa kali.
“Suspek kemudian menarik beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Warga asing lunyai dipukul, dihentak 3 lelaki di Ipoh, Perak
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas RnR Bagan Ajam kena ‘pukat’, mat motor belah Utara jadikan Sungai Dua port baharu litar lumba
Kalsom memberitahu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan serta kerugian kira-kira RM5,000 termasuk telefon pintar dan wang tunai.
Jelasnya, kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
"Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah itu ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.
“Suspek positif dadah jenis metamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kalsom dalam pada itu turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.
“Ini kerana ia dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.
“Elakkan juga ke tempat atau ke kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram