Membimbangkan, kes jenayah babitkan gelandangan tempatan dan warga asing di KL meningkat


  • 112
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Kes jenayah melibatkan golongan gelandangan di ibu negara semakin meningkat. — Gambar hiasan/Bernama

KES aduan dan laporan jenyah melibatkan kumpulan gelandangan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur menunjukkan sedikit peningkatan pada 2023 berbanding tahun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat tempoh sembilan bulan sehingga September lalu, pihaknya sudah menerima sebanyak 34 aduan berkaitan golongan tersebut pada tahun ini berbanding 27 aduan sepanjang 2022.

"Bentuk jenayah direkodkan melibatkan kejadian khianat, curi barang, curi motosikal, selisih faham sehingga mencetuskan pergaduhan dan aktiviti pukul, pecah rumah, samun, ugutan serta tindakan yang menganggu ketenteraman awam," katanya menerusi satu kenyataan kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika berkongsikan statistik terkini kes jenayah membabitkan kumpulan gelandangan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Allaudeen tidak memberikan perincian berhubung lokasi panas yang menjadi tempat tumpuan kegiatan jenayah melibatkan golongan tersebut.

BACA LAGI: Mudahnya jadi gelandangan di KL... dalam 30 minit dah dapat 3 pek makanan sedap dan keperluan asas

KL police chief Comm Datuk Allaudeen Abdul Majid attended KL police monthly assembly here at IPK KL. 20 DECEMBER 2023 一CHAN TAK KONG/The Star

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, untuk tempoh sama, aduan dan laporan jenayah khusus melibatkan kumpulan gelandangan daripada warga asing pada tahun ini turut merekodkan sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.

"Terdapat pertambahan aduan melibatkan gelandangan warga asing. Bagi tempoh Januari hingga Disember 2022, kita hanya aduan melibatkan seorang individu. Tapi bagi tempoh Januari hingga September lalu bagi tahun ini, kita terima aduan melibatkan lima orang yang merupakan gelandangan warga asing," ujarnya.

Majoriti sebelum ini melaporkan mengenai kerisauan beberapa peniaga di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur berhubung isu gelandangan yang dikatakan terus menghantui kawasan tersebut.

Ini kerana selain mencemarkan imej dan kebersihan tempat yang merupakan antara lokasi pelancongan utama di ibu negara itu, terdapat peniaga melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan ancaman keselamatan yang timbul sekiranya perkara itu terus dibiarkan tanpa sebarang usaha bagi menanganinya.

Ikuti siri Laporan Khas: Gelandangan di Kuala Lumpur di portal Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram