Penjaja makanan mengaku tak bersalah laku seks luar tabii terhadap 3 remaja lelaki


Seorang penjaja makanan berdepan 10 pertuduhan seks luar tabii terhadap tiga remaja lelaki di Melaka. — Gambar hiasan

SEORANG penjaja makanan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas 10 pertuduhan melakukan perbuatan seks luar tabii dan mencabul tiga remaja lelaki pada Isnin.

Yusri Nadin, 57, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan seks luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan melakukan hubungan oral dengannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan disebat.

BACA LAGI: DBKL serbu gerai 'ubat kuat', 7 premis penjaja warga asing disita di Chow Kit

Dalam pada itu, tertuduh juga berdepan enam lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 apabila didakwa mencabul kemaluan tiga remaja lelaki yang kesemuanya berumur 13 tahun.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Tertuduh dalam masa sama turut didakwa memaksa salah seorang mangsa melakukan seks oral ke atas seorang lagi remaja lelaki yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh menyebabkan dia dipenjara sehingga 20 tahun dan dirotan apabila disabitkan.

Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh menyimpan beberapa siri video lucah dalam tiga telefon bimbitnya.

BACA LAGI: Polis bongkar taktik penjaja sorok jeruk dalam longkang

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di ladang kelapa sawit, ladang getah dan pusat beli-belah di Simpang Bekoh, Asahan, Jasin, Melaka antara 23 Ogos 2023 dan Februari tahun ini.

Mahkamah menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes seterusnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram