Tak puas hati terima angpau RM5, polis tahan 4 suspek peras ugut Ahli Parlimen Julau


  • 112
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Empat suspek ditahan polis selepas didakwa memeras ugut Ahli Parlimen Julau pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini. — Gambar hiasan

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan jumlah angpau diterima, empat lelaki ditahan polis selepas didakwa melakukan pemerasan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, penahanan terhadap semua suspek dibuat pukul 6 petang pada Isnin lalu, sehari selepas Sng tampil membuat laporan mengenai kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, Sng mendakwa semasa melawat kawasan Julau sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 11 Februari lalu, keempat-empat suspek bercakap dengannya sambil menyatakan tidak berpuas hati dengan jumlah angpau diberikan kepada mereka.

Katanya, Sng kemudian bersetuju menambah jumlah angpau namun suspek masih membuat provokasi terhadap pekerjanya.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek dikatakan tidak berpuas hati disebabkan angpau yang diberikan oleh pengadu berisi RM5 saja.

"Suspek mengisikan angpau dengan duitnya sendiri berjumlah RM10 lalu memulangkannya kepada pengadu sebagai tanda tidak berpuas hati," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Andam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

BACA LAGI: Anggota polis enggan terima laporan peras ugut berdepan tindakan disiplin — Allaudeen

Interview with MPOC chairman Datuk Larry Sng @ MPOC office in Petaling Jaya. 02 SEPT 2022 一CHAN TAK KONG/The Star

Larry Sng diserang empat individu lelaki didakwa tidak berpuas hati selepas menerima angpau RM5. — The Star

BACA LAGI: Petani resah kegiatan peras ugut berleluasa di Batang Kali

Beliau berkata, permohonan reman dijalankan di Mahkamah Sarikei, Sarawak dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Sng menerusi perkongsiannya di Facebook pada Jumaat menjelaskan bahawa beliau terserempak dengan beberapa samseng tempatan yang sengaja menimbulkan masalah semasa melawat masyarakat Cina di Julau.

Jelasnya, wang angpau tersebut sememangnya disediakan untuk golongan kanak-kanak dan telah menjelaskannya kepada kesemua suspek berkenaan.

Namun, mereka kemudiannya meminta wang sebanyak RM500 dan terus melakukan serangan sebaik memasuki keretanya.

"Semasa saya masuk ke dalam kereta, mereka terus menyerang saya dan salah seorang daripadanya mendakwa memiliki senjata dan akan menyakiti saya.

"Demi keselamatan diri dan orang sekeliling, saya terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelasnya, kejadian itu mungkin berkait rapat dengan isu dendam politik dalam pilihan raya umum lalu.

"Bagi saya, ia bukan isu wang tetapi mungkin dendam sejak sekian lama. Saya sedar bahawa ketua mereka sebelum ini menyokong calon lain semasa pilihan raya.

"Dia kehilangan wang besar dalam perjudian apabila bertaruh untuk melihat saya tewas jadi ia mungkin berpunca daripada hal itu," tambahnya.

Justeru, beliau menggesa pasukan polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur mengenakan tindakan keras terhadap suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram