Polis bongkar taktik penjaja sorok jeruk dalam longkang


  • 112
  • Isnin, 28 Mac 2022

PIHAK polis berjaya membongkar tindakan sekumpulan penjaja yang menyimpan dan menyorok produk mereka di dalam longkang dan berhampiran loji kumbahan. — Polis Johor

SEKUMPULAN penjaja jeruk yang berniaga di jalanan sanggup menyimpan dan menyorok produk mereka di dalam longkang dan berhampiran loji kumbahan bagi mengelak penguat kuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor (KJSPT), Superintendan M Kumarasan berkata, perbuatan itu berjaya dibongkar menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor pada 2.30 petang Ahad.

Katanya, operasi itu dilakukan susulan aduan diterima mengenai aktiviti penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan negeri itu.

“Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan dikenal pasti dan tumpuan utama adalah persimpangan lampu isyarat di laluan utama.

"Hasil operasi yang mendapati bungkusan makanan pencuci mulut itu disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak tindakan diambil oleh pihak penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, operasi itu diketuai PT Penguatkuasa JSPT Johor, Asisten Superintendan Mohd Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis dan ia dilakukan secara berkala dalam menangani isu penjaja jalanan.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan penjaja yang menyimpan produk makanan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memandang remeh isu kebersihan makanan serta risiko penyakit bahaya yang boleh disebarkan sekiranya ia tercemar.

"Sikap individu yang mencari jalan mudah dengan meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja dan pengguna jalan raya yang lain terutama boleh mengundang kemalangan," katanya.

Kumarasan menegaskan, aktiviti menjaja di jalan awam adalah satu perbuatan yang menyalahi peraturan serta undang-undang.

"Mana-mana individu yang menjalankan urusan jual beli di jalan awam iaitu menjual dan membeli boleh diambil tindakan mengikut kaedah 10A (1) & kaedah 10A (2) LN 166/59 dan boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

"Malah di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT), ia juga perbuatan melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja.

"Kami mengingatkan supaya aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini khususnya kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram