PELAN Beras Putih Malaysia Madani baharu seperti yang diumumkan oleh Majlis Tindakan Kebangsaan bagi Kos Sara Hidup (Naccol) memerlukan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, harga beras putih tempatan sebagai bahan makanan terkawal perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Beliau berkata, setakat ini ia kekal sebagai inisiatif peribadi daripada pengerusi pasukan petugas Naccol, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal yang menurutnya belum melalui proses sewajarnya.
BACA LAGI: Kelantan keluarkan jenama beras sendiri 2024
Pengerusi Naccol, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal merupakan antara pihak terawal yang terbabit dalam pelan Beras Putih Malaysia Madani.
BACA LAGI: Kerajaan harap India terus eksport beras putih ke Malaysia
"Tiada perbincangan atau kelulusan daripada kementerian berhubung perkara ini. Setakat kementerian, ini adalah inisiatif peribadi Syed Abu Hussin selaku pengerusi pasukan petugas, dalam usaha menurunkan harga.
"Bagaimanapun, untuk melaksanakannya di seluruh negara, ia memerlukan kelulusan daripada Naccol dan kemudiannya Kabinet,” kata Lokman, sambil menambah bahawa pengumuman seperti itu memerlukan penglibatan dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkenaan.
Lokman menjawab pengumuman Syed Abu Hussin pada Rabu bahawa kerajaan akan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 untuk guni 10 kilogram (kg) pada 19 Februari, yang dijangka boleh didapati di pasaran mulai 1 Mac.
Syed Abu Hussin, yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dilaporkan berkata, tidak akan ada lagi kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) sekali gus menjadikan beras putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.
Katanya, antara 19 Februari dan 1 Mac, pemain industri beras boleh membuat pelarasan dan menjual beras dalam bungkusan lama sehingga semua stok pemborong habis dijual.
"Pembungkusan baharu semua beras putih selepas itu mesti dinamakan Beras Putih Malaysia Madani," tambahnya.
Lokman berkata, belum ada khabar berita untuk meminda Akta Padi dan Beras 1994 sedia ada, yang melarang peruncit menjual beras putih tempatan dan import atau menukar label beras putih tempatan tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian berkaitan.
Ketika dihubungi, Syed Abu Hussin berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai pengerusi pasukan petugas (kluster makanan) Naccol bagi memastikan bekalan beras putih mencukupi di pasaran walaupun tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.
“Beras putih dijual pada harga RM50 hingga RM70 setiap guni 10kg dan selepas terlibat dengan tiga pengeluar padi terbesar, mereka memutuskan RM30 setiap guni 10kg adalah harga paling sesuai untuk beras putih.
“Pada masa ini, harga beras putih tempatan ialah RM26 seguni 10kg. Orang ramai bimbang tentang kekurangan beras putih tempatan di pasaran.
“Tidak perlu menunggu prosedur kerana jika ada keperluan, saya sendiri akan membuat pengumuman itu,” kata Syed Abu Hussin, sambil menambah bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya sama ada beras putih Malaysia Madani adalah beras putih tempatan atau campuran dengan beras putih import, beliau berkata, ini terpulang kepada pemborong dan peruncit asalkan harga guni 10kg ialah RM30.
Walaupun mencampurkan dua jenis beras itu ke dalam satu guni adalah tidak sah di sisi undang-undang, beliau berkata, pindaan perlu dibuat bagi membolehkannya.
“Saya tidak kata mereka perlu campurkan beras putih import dan tempatan. Terpulang kepada mereka. Jika itu bertentangan dengan akta dan ada keperluan untuk meminda akta, maka kita harus melakukannya,” katanya.
Syed Abu Hussin berkata, penetapan harga siling beras putih Malaysia Madani berfungsi sebagai mekanisme untuk menghentikan manipulasi sesetengah pengeluar beras yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import dan menjualnya sebagai jenama beras mahal untuk mengaut keuntungan lebih besar.
“Ia berpunca daripada ketiadaan kawalan harga beras putih yang diimport menyebabkan harga kekal tinggi, ditambah dengan kenaikan harga beras global.
“Ini menyebabkan label beras putih tempatan ditukar kepada beras putih import, menyukarkan pencarian di pasaran,” tambahnya.
Harga runcit beras putih tempatan ialah RM2.50 sekilogram seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram