Lima kes berprofil tinggi, hujan peluru di Kedah


  • Massa
  • Ahad, 18 Feb 2024

Seorang penjenayah lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan jalan raya Jalan Bukit Kechil, Napoh dekat Jitra pada Jumaat.

SEJAK kebelakangan ini, kita sering kali disajikan dengan tragedi berdarah membabitkan kes tembak yang berlaku di seluruh negara.

Hampir setiap bulan, ada sahaja kejadian meragut nyawa yang melibatkan penjenayah dilaporkan media tempatan. Malah ada dalam kes jenayah itu ada yang melibatkan warga emas.

Kebanyakan penjenayah ini juga dengan beraninya cuba melawan pihak berkuasa dan enggan menyerah diri walaupun mereka tahu pada ketika itu nyawa mereka bagaikan telur di hujung tanduk.

Terbaharu, seorang penjenayah yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun dekat Jitra Kedah pada Jumaat.

Pada waktu kejadian, suspek juga sempat melepaskan dua das tembakan sebelum maut ditembak dengan empat das tembakan oleh polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian ternampak sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan serbuan yang melakukan rondaan di tempat ini dan mendapati kereta itu agak mencurigakan dan polis meminta suspek berhenti namun dia enggan berbuat demikian.

"Suspek bagaimanapun melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada Jumaat.

Untuk makluman, kes tembak yang berlaku di Jitra itu bukanlah kali pertama berlaku di Negeri Jelapang Padi tersebut. Malah pada tahun lalu sahaja, terdapat dua kes yang melibatkan penjenayah ditembak mati di negeri itu.

Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut di kerusi pemandu lepas berbalas tembakan dengan polis peronda

1. Penjenayah warga emas ditembak mati bersama rakan subahat di Gurun

1212_POLIS_KEDAH_TEMBAK_MATI

Pihak polis menunjukkan dua pucuk pistol yang digunakan oleh suspek. — PDRM

Dua penjenayah dikehendaki mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Jeniang-Kalai di Gurun, Kedah pada September lalu.

Pada waktu kejadian, suspek yang berada di tempat pemandu dan penumpang mati serta merta di tempat kejadian, manakala satu das tembakan yang dilepaskan suspek mengenai jaket kalis peluru polis.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai dua pucuk senjata api, sebilah parang dan pedang serta pelbagai peralatan untuk tujuan samun dan pecah rumah sekitar daerah Kuala Muda dan Kulim pada ketika itu.

Semakan polis mendapati mereka adalah lelaki warga tempatan berusia sekitar 40 dan 64 tahun yang memiliki 64 rekod lampau pelbagai kes samun, dadah, jenayah harta benda. Mereka juga individu dikehendaki dalam kes samun berkumpulan dan bersenjata

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir putus kaki gara-gara tidak sabar tunggu feri mendarat

2. Empat penjenayah ditembak mati di Bukit Kukus

1659239402-shooting

Kesemua suspek meninggal dunia di tempat kejadian. — Gambar hiasan

Polis menembak mati empat penjenayah yang paling dikehendaki kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 41 kes samun bersenjata di sekitar Kedah dan Perlis di kawasan tangki air Bukit Kukus dekat Kulim, Kedah pada 5 Oktober 2009.

Pada waktu kejadian, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan berusia antara 20 dan 29 tahun mati di kawasan persembunyian selepas berbalas tembakan.

Suspek yang terbunuh ialah Jayasilan Murugan dan Suresh Sinasamypillay dari Kampung Lengkuas, Pokok Sena, Ramesh Raman (Taman Intan Sungai Petani) serta Sundrakanapahti Subramaniam, (Batu Caves, Selangor).

Polis turut merampas sepucuk pistol jenis auto, Browning 9 milimeter (mm) bersama tujuh butir peluru hidup dan tiga bilah parang panjang serta dua pisau. Polis juga merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna hitam.

Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui sepucuk pistol berisi lima butir peluru hidup dan dua lagi di dalam kenderaan, dipercayai untuk kegunaan rompakan.

Siasatan menunjukkan kumpulan terbabit bergiat aktif melakukan rompakan bersenjata dengan menjadikan sasaran utama mereka iaitu kedai emas, kilang dan rumah di sekitar Kedah khususnya Kulim, Pulau Pinang dan Perlis.

Kesemua suspek dikesan mempunyai rekod jenayah berhubung kes ugutan jenayah, rompakan bersenjata dan ragut.

BACA LAGI: [VIDEO] Drama tebusan di George Town berakhir lepas 3 jam, anak derhaka jadikan ibu mangsa, ugut letup rumah

3. Dalang seludup senjata api, dadah ditembak mati di Baling

menunjukkan sepucuk pistol semi-automatik jenis Norinco bersama kelopak; lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM1,000 yang dirampas dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam

Polis menunjukkan sepucuk pistol semi-automatik jenis Norinco bersama kelopak, lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM1,000 yang dirampas dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam. — PDRM

Polis menembak mati lelaki yang merupakan dalang kegiatan penyeludupan senjata api dan dadah, di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, dekat Baling, Kedah pada 17 Jun 2017.

Ketika kejadian, media melaporkan suspek berusia 41 tahun maut terkena dua das tembakan pada dada dan kepala selepas berbalas tembakan dengan polis.

Difahamkan, suspek terdahulu melepaskan beberapa das tembakan ke arah sepasukan polis yang menghampiri kenderaannya yang dikesan mencurigakan untuk tujuan pemeriksaan.

Sehubungan itu, anggota polis terbabit melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta Toyota Vios digunakan suspek, pihaknya menemui sepucuk pistol semi-automatik jenis Norinco bersama kelopak, lapan paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM1,000 dan dua nombor pendaftaran palsu.

Risikan awal dilakukan juga mendapati suspek terbabit dalam jenayah penyeludupan senjata api serta dadah di negara jiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Berebut tapak parkir, punca pemandu e-hailing, teksi limosin berbalas tumbukan di 'landside' KLIA

4. Empat penjenayah warga Vietnam ditembak mati

Screenshot 2024-02-17 215330

Kenderaan Proton Saga yang digunakan oleh suspek untuk melarikan diri. — PDRM

Empat penjenayah warga Vietnam dikenali Geng Tebuk ditembak mati selepas memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian berbalas tembakan berhampiran Plaza Tol Lunas Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) pada 30 Ogos 2018.

Pada waktu kejadian, empat suspek lelaki berusia 20 sehingga 30-an mati di lokasi kejadian selepas gagal melarikan dari kepungan pasukan Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah.

Media melaporkan, ketika pihak berkuasa cuba menahan mereka, salah seorang daripada mereka cuba menyerang polis menggunakan parang manakala seorang lagi bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis hingga menyebabkan kesemua suspek berjaya ditembak mati dalam adegan berbalas tembakan.

Menurut polis, kumpulan berkenaan dipercayai bergiat aktif sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Malah modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah yang dipercayai mempunyai barang bernilai sebelum berpindah ke daerah lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram