SEORANG lelaki yang bertindak agresif dengan menjadikan ibunya sebagai tebusan dan mengugut meletupkan rumahnya sendiri di Georgetown, Pulau Pinang berjaya ditahan pada Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shaari Mansor berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.57 malam berhubung kejadian itu di perumahan berkenaan.
Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berusia 40-an mengunci pintu rumah dan mengikat pintu jeriji besi dengan dawai serta bertindak agresif memukul ibunya yang berusia 60-an.
“Anggota bomba cuba memujuk lelaki terbabit namun tidak berjaya kerana dia dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
“Lelaki terbabit juga membuka dua injap tong gas dan mengancam mahu menyalakan api menggunakan pemetik api.
“Dia juga bertindak menghidupkan pembersih hampagas yang dibimbangi akan mencetuskan api kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Geng mak nyah lagak samseng, mengamuk campak duit siap tendang pintu mall popular tengah KL
Tambahnya lagi, pihaknya kemudian membuka satu aliran air bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran.
Katanya, kira-kira tiga jam memujuk, lelaki terbabit melepaskan ibunya sebelum dia ditahan polis manakala warga emas itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu ditamatkan kira-kira tiga jam kemudian pada pukul 2.46 pagi Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid dilaporkan mengesahkan kejadian dan suspek akan direman pada Rabu.
Difahamkan, lelaki terbabit tidak bekerja dan tinggal bersama ibu dan seorang lagi ahli keluarga.
Ketika kejadian, lelaki terbabit dikatakan terus memukul ibunya setiap kali anggota penyelamat cuba merapati wanita berkenaan bagi diselamatkan.
Dipercayai, lelaki berkenaan memukul ibunya menggunakan tukul dan ketika diselamatkan, wanita terbabit berada dalam keadaan trauma. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram