[VIDEO] Driver tak sedar ada lelaki berpaut belakang treler — Polis Johor


  • 112
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Tangkap layar video aksi berani seorang lelaki berpaut pada bahagian belakang treler yang tular di media sosial sejak Jumaat.

POLIS Johor kini sedang giat mengesan seorang lelaki yang melakukan aksi berbahaya dengan berpaut pada belakang sebuah treler bergerak atas lebuh raya pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular dalam media sosial pada jam 12 tengah hari Jumaat berhubung kejadian itu.

"Sasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 10 pagi Khamis di Kilometer 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke arah Senai, Johor.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu lori Scania dari Kangkar Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai tidak menyedari terdapat seorang lelaki berpaut di belakang lori yang dipandunya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI : [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut di kerusi pemandu lepas berbalas tembakan dengan polis peronda

Tambahnya lagi, pemandu berumur 36 tahun tersebut mendakwa hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan.

"Pemandu tersebut telah hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi siasatan lanjut," katanya.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes untuk tampil di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 0167573507.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video menunjukkan aksi, seorang lelaki berpakaian gelap dan menggalas beg, berdiri dan berpaut pada belakang treler yang bergerak laju.

Video dipercayai dirakam pemandu lain yang melalui lebuh raya sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram