SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman bertindak luar kawalan apabila enggan turun dari bumbung sebuah blok pangsapuri empat tingkat di Sandakan, Sabah sejak Isnin.
Meskipun cuba dipujuk penduduk di kediaman itu, individu berusia 39 tahun tersebut didakwa masih berdegil dan tidak mengendahkan rayuan orang ramai yang meminta agar dia turun dari bumbung berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.45 malam Isnin, namun BBP Sandakan menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.58 malam hari sama.
"Proses memujuk lelaki itu oleh pasukan penyelamat dengan dibantu keluarganya giat dijalankan. Maklumat berkaitan akan dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu pada Rabu.
BACA LAGI: Bimbang makin ramai orang gila di Bintulu
Dalam pada itu, lelaki terbabit turut dilihat berzikir, melaungkan azan serta seolah-olah solat di atas bumbung tersebut.
Lebih 30 anggota bomba, 12 pegawai serta anggota polis berada di tempat kejadian untuk membantu menyelamatkan lelaki itu dan menurut perkongsian ramai di laman Facebook, individu tersebut berjaya diselamatkan pihak bomba pada Rabu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram