Jemaah Menteri bentang keputusan cadangan gaji penjawat awam pada Belanjawan 2025


  • Primer
  • Rabu, 14 Feb 2024

Cadangan penambahbaikan struktur gaji penjawat awam dijangka akan dibentangkan selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini. — Facebook

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

Keputusan itu dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun ini menurut kenyataan JPA pada Selasa.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 pada 13 Februari yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"Mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam," menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: Insentif RM2,000 penjawat awam dibayar pada 23 Februari ini — Anwar

Sementara itu, penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam adalah antara fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

Mengulas lanjut, JPA menjelaskan bahawa penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan.

BACA LAGI: Isu pencen penjawat awam: Berapa boleh jimat jika mansuh pencen ahli politik?

"Cadangan boleh disalurkan melalui portal semakan saraan yang telah dilancarkan sejak 7 Ogos tahun lalu di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac 2024.

"Perdana Menteri turut memberi penekanan kepada elemen pembaharuan perkhidmatan awam (civil service reform) seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan ‘Whole-of-Nation’.

"Ia bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara," menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram