Cuba seludup masuk 15kg tikus salai, warga Myanmar kena cekup di KLIA


  • 112
  • Rabu, 14 Feb 2024

Pegawai MAQIS menunjukkan tikus salai seberat 15kg yang berjaya dirampas di KLIA pada Isnin lalu. — Facebook/MAQIS

CUBAAN seorang lelaki warga Myanmar menyeludup masuk tikus salai seberat 15 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, barang dagangan itu dibawa masuk tanpa kebenaran.

"Kesemua tikus salai itu dikesan ketika pemeriksaan bagasi menerusi mesin pengimbas terhadap seorang penumpang dari Myanmar.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM300 itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Rakyat Malaysia jadi dalang seludup 336kg heroin ke Australia dikenal pasti

2537111

Sebanyak 15kg tikus salai berjaya dirampas di KLIA pada Isnin lalu. — Facebook/MAQIS

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pendaratan hantu' seludup pendatang haram dikesan di pantai Sepanyol

Untuk rekod, perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu berkenaan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

"Semua sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram