Abu Kassim diganti untuk lindungi Najib daripada siasatan 1MDB — Saksi


Abu Kassim Mohamed (kiri) digantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi melindungi Najib Razak berhubung kes 1MDB.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa Tan Sri Abu Kassim Mohamed digantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melindungi Datuk Seri Najib Razak daripada disiasat dan didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini didedahkan oleh Penguasa Kanan SPRM Nur Aida Arifin ketika mengesahkan kandungan rakaman audio perbualan antara Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khasnya Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

"Sebagai Perdana Menteri ketika itu, Najib mengambil beberapa tindakan yang memberi kesan kepada siasatan kes tersebut. Selepas Tan Sri Abu Kassim digantikan oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad, saya mendapat arahan untuk tidak meneruskan siasatan," katanya.

Bagaimanapun, apabila timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib bertanyakan nama orang yang memberinya arahan itu, saksi pendakwaan ke-49 berkata: "Saya tidak ingat, tetapi saya menerima arahan itu. Saya menulisnya dalam diari siasatan saya."

BACA LAGI: Pembebasan Najib tak beri sebarang nilai tambah kepada rakyat — Anwar

2532873

Najib Razak berdepan empat tuduhan rasuah membabitkan dana IMDB. — The Star

BACA LAGI: Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak

Mahkamah juga mendengar rakaman audio perbualan antara Najib dan ketua pegawai eksekutif Mubadala Abu Dhabi Khaldoon Al-Mubarak, yang mana saksi menyatakan perbincangan itu adalah mengenai penerbitan filem oleh anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz yang didakwa menggunakan dana 1MDB.

Dalam prosiding pada Isnin, sembilan rakaman audio dimainkan di mahkamah, didakwa membabitkan Najib, Rosmah, dan beberapa individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

Antara suara yang dikenal pasti oleh saksi ialah suara Dzulkifli, Amhari; bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Khaldoon.

Nur Aida juga berkata, Najib tidak pernah mengarahkan pihak berkuasa, termasuk polis dan SPRM untuk menyiasat ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, walaupun beliau sedar Jho Low memainkan peranan penting dalam 1MDB walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam syarikat itu.

"Peranan ini termasuk penglibatan Jho Low dalam beberapa pertemuan dengan pengurusan 1MDB dan nota perbualan yang disediakan oleh ahli perniagaan untuk kegunaan pengurusan 1MDB," katanya.

Berdasarkan siasatannya, Nur Aida berkata, beliau tidak menemui sebarang surat yang dihantar Najib kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud atau kerajaan Arab Saudi sebagai tanda penghargaan atau terima kasih atas sebarang sumbangan seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri itu.

"Siasatan saya juga mendedahkan syarikat yang didakwa menyalurkan dana derma daripada kerajaan Arab Saudi ke dalam akaun Najib, termasuk Blackstone Real Estate dan Tanore Finance Corporation, tidak mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB.

"Tiada juga bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan Arab Saudi telah memaklumkan kepada Najib bahawa derma itu akan terlebih dahulu memasuki akaun syarikat-syarikat ini sebelum disalurkan ke dalam akaun Najib," katanya.

Untuk rekod, Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram