SEORANG pekerja p hailing mengaku sengaja membakar kereta peronda polis bantuan sehingga rentung di tepi kawasan stesen bas berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, Selangor pada awal pagi Khamis.
Menerusi video tular di laman TikTok, lelaki berkaca mata itu memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan rentung tersebut.
Berpelakuan biadab dan didakwa sengaja mencabar anggota penguat kuasa, lelaki terbabit turut meninggalkan tanda pagar #polistakdekeje pada hantaran berkenaan.
"Done bakar kereta polis, puas hati aku," demikian kapsyen dalam video terbabit.
Difahamkan, suspek memuat naik konten itu di TikTok sejurus selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Majid dilaporkan berkata, suspek yang juga pekerja p-hailing sudah dicekup polis bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal polis mendapati motif suspek bertindak demikian kerana dipercayai tidak berpuas hati terhadap pihak polis bantuan syarikat tersebut.
Katanya, suspek seorang warga tempatan berjaya ditahan dan serbuan di rumahnya yang terletak di Flora Damansara sekitar pukul 12 tengah hari Khamis, selain polis turut merampas barangan dipercayai digunakan untuk jenayah itu.
"Siasatan awal turut mendapati suspek ada melakukan berbuatan vandalisme dengan mencoteng dinding kaca di stesen itu dengan kata kesat sebelum membakar kereta terbabit," kata Mohd Fakhrudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram